TINDAKAN seorang penunggang motosikal cuba meredah banjir menyebabkan dirinya dihanyutkan arus deras di Kampung Sungai Siput, Lubok China, Alor Gajah, Melaka.
Kejadian pada Jumaat itu turut dirakam penduduk lain yang berada di sekitar kawasan sebelum dikongsikan di media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, lelaki itu dilihat menunggang motosikalnya di belakang sebuah lori untuk melalui jalan yang dibanjiri arus deras.
BACA LAGI: Lebih 800 sekolah seluruh negara berisiko terjejas banjir
BACA LAGI: [VIDEO] Sering dilanda banjir, penduduk Pantai Timur boleh 'pujuk' kerajaan tiru inovasi pod kapsul
Penunggang itu kemudian dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum dia dihanyutkan arus.
Lelaki itu bagaimanapun bernasib baik selepas berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.
Difahamkan, mangsa ketika itu cuba menyelamatkan motosikalnya yang dihanyutkan banjir dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi Jumaat.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Norhayati Rahmat dilaporkan berkata, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk menyelamatkan lelaki berusia 34 tahun itu.
Menurutnya, mangsa sebelum itu cuba meredah banjir dengan mengekori sebuah lori namun gagal mengawal kendaraannya sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 7.45 pagi. Terdapat seorang mangsa hanyut dibawa arus banjir semasa melalui jalan raya yang terlibat banjir.
“Kita segera memulakan operasi kerja-kerja menyelamatkan mangsa yang sedang berpaut pada sebatang kayu. Kedalaman banjir dianggarkan sekitar 1.2 meter dan mangsa diselamatkan kira-kira pukul 8.40 pagi,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram