[VIDEO] Ahli keluarga Rothschild maut dalam kebakaran di Hollywood Hills


  • Benua
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Punca kematian Will Rothschild sedang disiasat oleh Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles.

SALAH seorang ahli keluarga Rothschild dilaporkan meninggal dunia dalam satu kebakaran di kawasan rumahnya di Hollywood Hills, pada Rabu malam.

Jabatan Bomba Los Angeles bertindak balas terhadap kebakaran di blok 8500 Lookout Mountain Avenue, Hollywood Hills, sekitar pukul 4.40 petang waktu tempatan.

Seramai kira-kira 45 anggota bomba mengambil masa hanya 33 minit untuk mengakses, mengawal dan memadam sepenuhnya kebakaran di rumah dua tingkat yang terletak di lereng bukit tersebut.

BACA LAGI: Lebih 800 sekolah seluruh negara berisiko terjejas banjir

BACA LAGI: [VIDEO] Sering dilanda banjir, penduduk Pantai Timur boleh 'pujuk' kerajaan tiru inovasi pod kapsul

Menurut jabatan tersebut, api berjaya dikawal di tingkat pertama rumah dua tingkat itu dan tidak merebak ke kawasan tumbuh-tumbuhan atau struktur kediaman berdekatan.

Sebaik tiba, anggota bomba menemui seorang lelaki dewasa yang sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Punca kematiannya sedang disiasat oleh Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles.

Jiran-jiran memberitahu bahawa lelaki itu adalah Will Rothschild, salah seorang ahli keluarga perbankan British-Jerman yang terkenal.

Rothschild yang digambarkan sebagai seorang jutawan yang gemar menyendiri, memiliki beberapa hartanah dan puluhan kereta mewah.

Sesetengah jiran menyangka rumah tersebut kosong kerana mereka tidak pernah melihatnya, manakala mereka yang mengenalinya berasa sedih dengan berita itu.

"Ia sangat menyedihkan, dia seorang jiran yang baik," kata jiran, Jim Moore kepada stesen berita tempatan.

Rumah dua bilik tidur dan satu bilik mandi itu dianggarkan bernilai $1,076,000 (kira-kira RM4.8 juta), menurut Zillow.

Punca kebakaran masih belum dikenal pasti.

Keluarga Rothschild membina kekayaan mereka dengan menubuhkan bank di Eropah dan dianggarkan bernilai $1 bilion, menurut Business Insider.

Lord Jacob Rothschild, seorang ahli kewangan dan ahli keluarga perbankan Rothschild meninggal dunia pada usia 87 tahun.

Lord Rothschild yang mempunyai empat orang anak, termasuk ahli kewangan Nat Rothschild memulakan kerjayanya dalam bank keluarga pada 1963 dan menubuhkan Windmill Hill Asset Management untuk mengurus portfolio dermawan keluarga.

Beliau kemudian menjadi pengasas bersama J Rothschild Assurance Group, kini dikenali sebagai St James's Place, bersama Sir Mark Weinberg pada 1980.

Sepanjang kerjayanya, Lord Rothschild memegang pelbagai jawatan seperti timbalan pengerusi di BSkyB Television pada waktu itu dan juga pengerusi pemegang amanah di The National Gallery. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram