Makin kritikal, jumlah mangsa banjir di 7 negeri cecah 73,981


  • Massa
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Jumlah penduduk terjejas banjir yang melanda tujuh negeri semakin menunjukkan peningkatan.

JUMLAH penduduk terjejas banjir yang melanda tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Selangor meningkat kepada 73,981 mangsa membabitkan 22,911 keluarga.

Setakat pukul 7 pagi Jumaat, sebanyak 551 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negara.

Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan masih merekodkan angka mangsa banjir tertinggi dengan 59,223 orang melibatkan 18,469 keluarga.

BACA LAGI: Lebih 800 sekolah seluruh negara berisiko terjejas banjir

BACA LAGI: [VIDEO] Sering dilanda banjir, penduduk Pantai Timur boleh 'pujuk' kerajaan tiru inovasi pod kapsul

Sehubungan itu, sebanyak 221 PPS dibuka di 10 daerah negeri tersebut.

Sementara itu, di Terengganu, seramai 11,859 mangsa banjir membabitkan 3,459 keluarga sedang berlindung di 234 PPS yang beroperasi di lapan daerah, manakala di Kedah, 31 PPS dibuka di lima daerah yang menempatkan 2,204 mangsa banjir (761 keluarga).

Di Negeri Sembilan pula, 274 mangsa (96 keluarga) di dua daerah ditempatkan di enam PPS yang sedang beroperasi, empat PPS dibuka di Perlis dengan seramai 331 orang.

Selain itu, dua PPS dibuka di Perak dan Selangor masing-masing melibatkan 69 mangsa atau 22 keluarga dan 21 mangsa (lima keluarga).

Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir, seramai 24,211 bersamaan 32.73 peratus adalah lelaki dewasa, manakala 25,850 (34.95 peratus) perempuan dewasa; 11,158 (15.08 peratus) kanak-kanak lelaki; 10,697 (14.46 peratus) kanak-kanak perempuan; 1,048 (1.48 peratus) bayi lelaki dan 958 (1.3 peratus) bayi perempuan.

Maklumat lain menunjukkan seramai 2,360 mangsa (3.56 peratus) merupakan lelaki warga emas; 3,067 (4.15 peratus) wanita warga emas; 1,287 (1.74 peratus) orang kurang upaya (OKU) lelaki dan 748 (1.01 peratus) OKU perempuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram