SITUASI banjir di Kelantan terus memburuk dengan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat mendadak, setakat pukul 4 petang pada Rabu.
Di Kelantan, mangsa banjir meningkat kepada 12,526 orang berbanding 3,110 orang yang berlindung di 96 PPS melibatkan jajahan Pasir Mas, Pasir Puteh, Kuala Krai, Kota Bharu, Tanah Merah, Machang, Tumpat, Bachok dan Jeli.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 3,232 orang di 19 PPS, Pasir Puteh (1,738 mangsa di 14 PPS), Kuala Krai (1,591 mangsa di 17 PPS), Kota Bharu (1,573 mangsa di 14 PPS) dan Tanah Merah (1,001 mangsa di 14 PPS).
BACA LAGI: Polis selamatkan remaja perempuan dipercayai diculik di Shah Alam
BACA LAGI: Polis kerah skuad khas Senoi Praaq pantau sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok
Di Machang, sebanyak 977 mangsa ditempatkan di lapan PPS, Tumpat (973 mangsa di dua PPS), Bachok (776 mangsa di empat PPS) dan Jeli (665 mangsa di empat PPS).
Menerusi video-video situasi banjir di Kelantan yang tular di Facebook, satu hantaran menyaksikan seorang lelaki tempatan dilihat sempat menyelamatkan rakan sekampung meraih pujian warganet.
Video tular berdurasi kurang daripada satu minit itu merakam tindakan berani jejaka tersebut menyelamatkan tiga orang lelaki yang hampir dibawa oleh arus deras banjir yang melanda kawasan mereka.
Lelaki tersebut juga dilihat menggunakan tali untuk menyelamatkan dua daripada tiga mangsa berkenaan.
Menjengah ruangan komen di laman Facebook, sesetengah mendakwa salah satu mangsa tersebut dikatakan cuba untuk menyelamatkan motornya sehingga terperangkap dalam banjir terbabit.
"Hebat abang ini, tak panik semasa selamatkan budak-budak. Terbaik, semoga ALLAH berkati anda," kata warganet, Mohamed Haji Anwar.
"Motor rosak tidak apa boleh baiki, nyawa melayang susah nanti. Alhamdulillah semua selamat. Terbaik abang ini boleh tolong," komen penyokong, Edazul Roslee.
Dalam pada itu, satu kematian direkodkan di negeri itu selepas seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika cuba menanggalkan plag mesin basuh susulan kediamannya di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh dinaiki air.
Di Kelantan, mangsa banjir meningkat kepada 12,526 orang berbanding 3,110 orang yang berlindung di 96 PPS.
Komander Operasi Bomba Pasir Puteh, Mohd Rukiman Ab Rahman berkata, dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu mangsa, Tuan Mohd Zakaria Tuan Ismail, 33, terkena renjatan elektrik sebelum jatuh dan dihanyutkan arus deras ke sungai di belakang rumahnya.
Lima sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Jeli, Sungai Kelantan di Tanah Merah, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Melor, Bachok dan Sungai Semerak di Pasir Puteh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram