SEORANG pesara ditemukan selepas kereta dipandunya terperangkap sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai dalam kejadian banjir kilat di Kilometer 4 Jalan Selirik di Kapit, Sarawak pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintenden Rohana Nanu berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6 pagi semasa mangsa, Pastor Bangau Amping, 75, sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar isteri berniaga di hadapan SK Methodist.
BACA LAGI: Polis selamatkan remaja perempuan dipercayai diculik di Shah Alam
BACA LAGI: Polis kerah skuad khas Senoi Praaq pantau sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok
“Semasa kejadian, air telah melepasi jalan raya akibat hujan lebat sejak malam tadi (Selasa) dan arus kuat menyebabkan kereta dipandunya dihanyutkan ke dalam Sungai Selepong berdekatan.
"Mangsa berjaya dikeluarkan sekitar pukul 7.40 pagi tadi, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, tiga anggota bomba yang sedang bertugas membantu mangsa banjir di RH Richard Engking, Sungai Amang bergegas ke lokasi berdekatan persimpangan Tatai Kenyalang, kira-kira 1.4 km dari rumah panjang tersebut selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7 pagi.
Keadaan banjir di Jalan Selirik di Kapit.
“Setiba di lokasi, mereka mendapati terdapat sebuah kereta Proton Saga berada di dalam sungai dan mangsa masih berada di dalam kereta. Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Beberapa kawasan di Kapit di bahagian tengah Sarawak dilanda banjir kilat sekitar pukul 5 pagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya melahirkan rasa sedihnya berhubung kejadian yang menimpa warga emas terbabit.
Alexander juga mengarahkan pasukan Pejabat Parlimen Kapit untuk membantu semua penduduk di Rumah Dennis Anak Langok Amang Ulu yang terkesan teruk akibat dilanda banjir untuk memberi bantuan.
"Saya telah mengarahkan pasukan Pejabat Parlimen Kapit di kawasan untuk melihat keperluan penduduk terjejas dan menyalurkan bantuan segera yang diperlukan.
"Pihak berkuasa tempatan bersama pasukan penyelamat juga sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu penduduk yang terjejas, termasuk usaha-usaha menyelamatkan mereka yang terperangkap dan memastikan keselamatan mangsa.
"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, saya menyeru kepada semua penduduk di Kapit untuk sentiasa berhati-hati dan mengikuti arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram