KETEGANGAN politik di Pakistan semakin meruncing apabila konflik antara kerajaan dan penyokong bekas Perdana Menteri, Imran Khan, mencapai kemuncaknya.
Imran Khan, yang pernah mencipta nama sebagai bintang kriket sebelum menceburi bidang politik, telah dipenjarakan sejak Ogos 2023 atas tuduhan rasuah.
Penahanannya berlaku selepas tempoh pergolakan politik, di mana beliau digulingkan melalui undi tidak percaya di Parlimen pada tahun 2022.
Situasi tersebut sekali lagi menempatkan Pakistan dalam krisis politik yang serius, dengan kebimbangan terhadap kestabilan negara semakin meningkat.
Keadaan tegang itu turut menyaksikan pertempuran maut, penangkapan besar-besaran, dan ketidakpuasan rakyat yang meluas.
BACA LAGI: [VIDEO] Kami reda kehilangan Naura, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya — Ayah saudara
Terbaharu, lebih 500 penyokong Parti Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI) ditahan ketika polis memperketat kawalan keselamatan di Islamabad.
Pada masa sama, pasukan keselamatan Pakistan dituduh menolak seorang lelaki daripada timbunan kontena kargo ketika protes menuntut pembebasan Imran Khan yang diadakan di Islamabad pada Selasa.
PTI mendakwa lelaki itu sedang berdoa di atas kontena sebelum anggota bersenjata, dipercayai dari pasukan paramiliter Pakistan Rangers, menolaknya jatuh ke bawah dari kontena yang berketinggian tiga tingkat itu.
Rakaman video tular menunjukkan lelaki itu cuba berpaut sebelum terjatuh. Keadaan lelaki itu juga masih belum diketahui.
Kejadian itu berlaku di persimpangan Jinnah dan Attaturk Avenues, lokasi utama perhimpunan penyokong Khan.
BBC Verify mengesahkan rakaman itu dengan membandingkan video kejadian dengan gambar yang dimuat naik oleh Getty Images.
PTI dalam kenyataannya menyifatkan insiden tersebut sebagai salah satu daripada beberapa kekejaman polis sepanjang demonstrasi itu.
Protes yang berlangsung sejak Ahad telah menyebabkan sekurang-kurangnya enam kematian, termasuk empat pegawai keselamatan dan dua orang awam.
PTI pada Rabu mengumumkan protes ditangguhkan buat sementara waktu, dengan menuduh pihak berkuasa melancarkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang didakwa aman.
PTI mendakwa lelaki itu sedang berdoa di atas kontena sebelum anggota bersenjata, dipercayai dari pasukan paramiliter Pakistan Rangers, menolaknya jatuh ke bawah dari kontena berketinggian tiga tingkat itu.
Parti itu juga mendakwa beberapa pekerjanya terbunuh akibat tindakan keras tersebut dan menyeru supaya siasatan dijalankan.
Pihak berkuasa Pakistan bagaimanapun menafikan dakwaan melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan, walaupun dua sumber hospital mengesahkan kepada BBC bahawa mereka menerima empat mayat orang awam dengan luka tembakan selepas protes tersebut.
Untuk makluman, Imran Khan, yang kini dipenjara lebih setahun atas tuduhan jenayah termasuk penipuan, mendakwa pertuduhan itu bermotifkan politik. Walaupun berada dalam tahanan, Khan kekal sebagai tokoh berpengaruh dalam politik Pakistan.
Dalam pilihan raya Februari lalu, partinya, yang diharamkan daripada bertanding secara rasmi, masih muncul sebagai blok tunggal terbesar. Namun, mereka gagal membentuk kerajaan apabila pihak lawan bergabung untuk mengambil alih kuasa.
Protes yang disifatkan sebagai 'seruan terakhir' oleh Khan mungkin menandakan babak baharu dalam krisis politik yang semakin meruncing di negara itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram