KEADAAN tasik di sebuah taman awam berhampiran kawasan perniagaan di Denai Alam, Shah Alam, Selangor yang dipercayai tercemar membangkitkan kemarahan orang ramai.
Menerusi hantaran dikongsikan pengguna akaun X @paultantk pada Ahad lalu, tasik tersebut dilihat dalam keadaan kotor dan dipenuhi dengan tumpahan minyak.
"Taman awam sebelah kawasan trak jualan makanan. Tasik penuh dengan minyak," tulisnya.
Situasi itu secara tidak langsung memberi imej buruk taman rekreasi serta menimbulkan ketidakselesaan kepada para pengunjung.
Perkara tersebut juga dikatakan berpunca daripada sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab membuang sisa-sisa kotoran ke dalam tasik.
Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah terlibat digesa untuk mengambil tindakan tegas untuk mengatasi masalah tersebut.
"Tolong ambil tindakan berkaitan pencemaran ini. Punca daripada peniaga sebelah food truck dan 'rambo pacak-pacak' khemah itu.
"Peniaga buang minyak masuk longkang terus," komen @syaffiq34.
"Sivik tak ada. Makanan tak habis tuang dalam sungai atau tasik, bahan buangan pun buang dalam itu," kata @alifzayroya.
Bagaimanapun, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa atau kementerian terlibat berhubung dakwaan itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram