SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar satu pasukan khas operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pahang ditubuhkan terutamanya apabila berlaku kejadian lemas atau orang hilang di Sungai Pahang.
Baginda bertitah, ia merupakan satu keperluan ekoran ramai anggota dari luar daerah dan negeri perlu diambil bertugas setiap kali kejadian lemas dan seumpamanya.
Titahnya, sudah tiba masanya Pahang mempunyai pasukan khas SAR di kawasan-kawasan yang kerap berlaku insiden sedemikian.
Sultan Pahang (kanan) ketika bertemu dengan ahli keluarga mangsa. — Facebook/Kesultanan Pahang
Baginda juga berpandangan bahawa perkara itu dilaksanakan bagi mempercepatkan operasi menyelamat khususnya di Chenor, Temerloh, Jerantut, Lipis, Jerantut.
"Sekurang-kurangnya, kewujudan pasukan khas dapat memantau di sepanjang sungai walaupun kita tahu Sungai Pahang ni panjang.
"Satu lagi, buatlah notis atau papan tanda peringatan di setiap daerah supaya orang ramai termasuk pemancing-pemancing agar lebih berwaspada.
"Jangan ambil mudah dengan persekitaran dan sungai termasuk memakai kasut yang sesuai supaya tak mudah licin atau tergelincir," titah baginda menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang pada Isnin.
Cikgu Murdani yang masih belum ditemui selepas terjatuh di Sungai Pahang pada Ahad. — Facebook
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli melihat operasi SAR seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang berhampiran Jeti Chenor, Kampung Chenor.
Terdahulu, Murdani Ab Rahman, 53, yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum disedari terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 6 petang Ahad sebelum dibawa arus deras.
"Saya berharap keluarga mangsa tabah menjalani saat sukar ini. Saya juga berharap operasi yang dilakukan berjaya menemui Cikgu Murdani.
"Saya harap semua yang terlibat dalam operasi mengambil langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi ekoran keadaan cuaca dan arus sungai yang deras," titahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram