PENGGUNAAN pengangkutan awam di Selangor menunjukkan peningkatan positif, hasil daripada pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, purata penggunaan harian pengangkutan awam di negeri ini kini mencecah 1.1 juta penumpang, berdasarkan data terkini.
“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk perkhidmatan bas Smart Selangor dan van transit atas permintaan (Demand-Responsive Transit –DRT),” katanya semasa Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor.
BACA LAGI: Larang campur beras import, lokal antara 4 cadangan tangani isu kekurangan beras putih tempatan
BACA LAGI: Peningkatan harga beras putih tempatan tak bebankan golongan B40
Beliau turut menjelaskan bahawa perkhidmatan lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas yang dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam.
Selain itu, projek pembinaan LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang dijangka mula beroperasi pada 1 Mac tahun depan.
Sze Han berkata demikian ketika menjawab soalan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang mengemukakan isu berkenaan perancangan kerajaan negeri untuk menambah baik pengangkutan awam, terutama dari segi infrastruktur dan jaringan kesalinghubungan.
“Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan Selangor dalam mencapai sasaran 60 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2035,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri sedang merangka pelan pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan kesalinghubungan 'First Mile, Last Mile' connectivity.
“Inisiatif ini tidak hanya tertumpu kepada mod pengangkutan seperti bas, rel, teksi dan e-hailing, tetapi juga melibatkan elemen lain seperti infrastruktur perhentian bas, hab pengangkutan, mobiliti mikro, e-skuter dan laluan pejalan kaki,” jelasnya.
Sze Han turut memaklumkan bahawa terma rujukan (TOR) untuk kajian pelan induk mobiliti negeri Selangor kini berada di peringkat akhir penyediaan.
Jelas beliau, pada 1 hingga 4 Ogos lalu, satu bengkel bersama semua pihak berkuasa tempatan di Selangor serta jabatan teknikal diadakan bagi membincangkan TOR.
"Ini bagi memastikan kajian yang dijalankan adalah menyeluruh dan mengambil kira dasar, strategi serta garis panduan di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.
"Bengkel tersebut juga memberi tumpuan kepada isu pengangkutan awam yang dihadapi oleh setiap pihak berkuasa tempatan, dengan harapan penyelesaian komprehensif dapat dicapai,”ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram