Bermula jual nasi ayam dengan ibu mentua di Jitra, Ezad kini tambah operasi restoran OAK di Lembah Klang


  • Bizz
  • Khamis, 21 Nov 2024

Ezad memulakan restoran OAK pada Julai tahun lalu.

NASI Ayam Hainan adalah antara hidangan cukup terkenal khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.

Menu itu dikenali kerana keenakan rasa ayamnya yang direbus lembut dengan bahan perapan seperti bawang putih, halia, kicap, garam dan jus oren sambil dihidangkan bersama sambal pedas serta sup panas.

Keunikan resipi tersebut menjadikan nasi ayam Hainan cukup diterima ramai masyarakat berbilang kaum di Malaysia sehingga ada yang mengubah suai resipi itu mengikut cita rasa tempatan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Di Lembah Klang, antara yang kedai makan yang menawarkan hidangan ini adalah di restoran Original Anak Kampung (OAK) yang mempunyai dua cawangan masing-masing di Subang Bestari, Shah Alam dan Kota Damansara, Petaling Jaya.

Meskipun baru memulakan operasi pada Julai tahun lalu, kejayaan untuk membuka premis kedua dalam tempoh setahun membuktikan sambutan baik orang ramai terhadap hidangan oleh restoran terbabit.

Pemilik OAK, Ezad Fadzuan berkata, nasi ayam hainan panggang merupakan antara resipi utama yang menjadi pilihan pengunjung di restoranya.

6183632512937476991

Cawangan kedua OAK di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Ujarnya, resipi hidangan tersebut yang diambil daripada pelbagai tukang masak yang mahir dengan masakan berkenaan.

"Untuk resipi hidangan makanan Cina seperti ini, bukan semua bahannya adalah daripada yang halal. Jadi kita tukar resipi itu dengan gunakan bahan halal dan kena dengan cita rasa disukai pelanggan," katanya.

Selain daripada nasi ayam Hainan panggang, menu utama yang menjadi tarikan pelanggan di OAK adalah hidangan mi kari yang baru diperkenalkan pada penghujung tahun lalu.

Beberapa hidangan lain yang turut ditawarkan di OAK adalah mi wantan, sup kuetiau bebola ikan, mi udang Penang dan aneka pilihan nasi ayam.

Mula belajar jual nasi ayam dengan mak mentua

Menurut Ezad, dia yang juga graduan pendidikan bahasa Inggeris daripada universiti di Australia, pada awalnya terdedah kepada perniagaan makanan melalui ibu mentuanya yang memiliki restoran nasi ayam di Jitra, Kedah, sejak 2010.

Katanya, selepas berkahwin, dia secara aktif membantu ibu mentuanya mengoperasikan kedai makan tersebut sebelum dia diminta mengambil alih sepenuhnya restoran berkenaan sekitar 2017.

"Pada mulanya saya bekerja dengan mak mentua saya sendiri. Belajar daripada bancuh air sampailah macam mana nak buat nasi ayam," ujarnya.

Selepas hampir 10 tahun beroperasi, dia dan isterinya bagaimanapun terpaksa menutup perniagaan restoran terbabit selepas terjejas akibat pandemik Covid-19 dan berhijrah ke Kuala Lumpur bersama keluarganya.

Namun, pada waktu tersebut, berbekalkan dengan pengalaman dimiliki, dia juga mula menimbulkan idea untuk membuka restoran nasi ayam bersama seorang rakannya di Lembah Klang pada 2021.

Projek terbabit tidak berjalan lama selepas dia mengambil keputusan untuk keluar daripada kerjasama berkenaan dan kembali pulang ke Jitra bagi membuka semula restoran nasi ayam yang diusahakan sebelum ini selepas ekonomi kembali pulih.

6183632512937476983

Nasi ayam Hainan panggang dan mi kari merupakan dua menu utama di OAK yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Pada masa sama, perancangan untuk membuka restoran nasi ayam di Lembah Klang itu masih tidak padam apabila dia bersama seorang rakan kongsinya membuat keputusan untuk menghidupkan kembali idea tersebut kemudiannya berjaya direalisasikan dengan pembukaan OAK pada tahun lalu.

Pada waktu ini, Ezad berkata, OAK mempunyai kira-kira 30 pekerja di dua restoran yang dioperasikannya di Lembah Klang.

Ujarnya, jumlah purata jualan harian hidangan ayam di setiap kedai premis OAK adalah sekitar 20 ekor ayam dan ia boleh mencecah sehingga 38 ekor ayam sehari.

"Secara jujurnya ia masih jauh daripada sasaran kita. Sebab kita menyasarkan untuk jadi seperti rangkaian restoran makanan segera di Malaysia.

"Jadi kalau mereka boleh buat, kenapa kita tak boleh," ujarnya.

Bergerak ke hadapan, Ezad berkata, mereka mempunyai perancangan untuk membuka satu cawangan baharu di Lembah Klang pada tahun depan

"Kalau ikut pelan, kita rancang untuk buka cawangan ketiga pada tahun depan. Sekarang ini kita cuma tinggal nak cari kedai. Selepas itu, insya-ALLAH kita akan cuba buka lagi banyak cawangan bermula di KL.

"Lepas dah lebih stabil, kita mungkin akan cuba buka pula di Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Kalau boleh kita nak ada banyak cawangan di sekitar Malaysia," katanya.

Pada masa sama, Ezad yang ketika ini masih menguruskan kedai nasi ayamnya di Jitra berkata, mereka juga akan memperkenalkan lebih banyak menu baharu khususnya dari Utara.

"Kita akan perkenalkan menu yang semua orang boleh makan. Bukan Melayu sahaja, tetapi semua kaum," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram