Mesin canggih IONM bantu pakar perubatan Malaysia jalani pembedahan berisiko tinggi


  • Bizz
  • Ahad, 24 Nov 2024

Dengan kemajuan teknologi perubatan khususnya dengan kewujudan peranti, ia turut membolehkan perkhidmatan pembedahan invasif dilakukan dengan kesakitan minimum.

KEMAJUAN bidang teknologi kini membolehkan kepada kewujudan peranti perubatan yang canggih sekali gus membawa dimensi baharu terhadap pelbagai bidang rawatan penyakit.

Di peringkat global, kehadiran peranti sedemikian dilihat memberikan penyelesaian terhadap pendekatan penjagaan yang turut meliputi proses pembedahan tidak invasif.

Dengan kemajuan teknologi perubatan tersebut, ia turut membolehkan perkhidmatan pembedahan invasif dilakukan dengan kesakitan minimum.

Antara peranti perubatan banyak digunakan adalah peranti ultrasound, elektroensefalogram (EEG) dan elektrokardiogram (ECG).

Kedua-dua alat tersebut membantu memudahkan proses mengenal pasti kecederaan dalaman dihidapi pesakit.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Di negara ini, kecanggihan teknologi peranti itu kini turut membawa kepada perubahan terhadap rawatan pelbagai penyakit termasuk tulang belakang dan otak.

Sebagai contoh, mesin Sistem Pemantauan Neurofisiologi Intraoperatif (IONM) memiliki teknologi utama untuk memantau dan menilai kepentingan sistem saraf semasa prosedur pembedahan.

Mesin IONM berfungsi antara lain bagi menganalisis, menginterpretasi, mengenal pasti risiko dan keadaan semasa sistem saraf ketika pembedahan tulang belakang atau otak dijalankan.

Data-data dikumpulkan akan dianalisis oleh jurutera bioperubatan dengan maklumat itu kemudiannya dibaca dan disampaikan kepada pakar bedah untuk memastikan pembedahan berjalan lancar.

“Mesin itu juga digunakan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat risiko terhadap sistem saraf ketika proses pembedahan berlangsung,” ujar Pengarah Pembangunan Teknikal dan Perniagaan Medical Revolution (MedRev) Sdn Bhd, Abbad Tajuddin.

Sistem

Beliau memberitahu, MedRev antara pelopor tempatan diberikan kepercayaan mengendalikan mesin dari Amerika Syarikat (AS) itu.

Peranti IONM juga satu-satunya mesin digunakan untuk pembedahan berkaitan sistem saraf digunakan di negara ini.

6183632512937476979

Pengarah Pembangunan Teknikal dan Perniagaan MedRev Sdn Bhd, Abbad Tajuddin.

Menggunakan kecanggihan teknologi terkini, beliau yang juga seorang jurutera perubatan berkata, perkhidmatan mesin IONM itu diguna pakai oleh pakar bedah hospital awam dan swasta seluruh negara.

Jelasnya, sembilan gabungan teknologi utama yang digunakan dalam sistem IONM memberikan ketepatan bacaan proses pembedahan membabitkan tulang belakang dan otak.

Antara kecanggihan sistem digunakan adalah EEG yang bertindak mengukur aktiviti elektrik dalam otak dan seterusnya memantau perubahan dalam fungsi serebrum serta mengesan keabnormalan ketika pembedahan melibatkan otak berjalan.

Sementara itu, Elektromiografi (EMG) pula digunakan untuk merekod aktiviti elektrik dalam otot dan saraf, memantau laluan motorik dan mengesan perubahan boleh menunjukkan kecederaan atau disfungsi saraf.

Selain itu, penggunaan sistem Potensi Terasa Somatosensori (SSEPs) dapat merangsang saraf periferi contohnya pada anggota dan merekod tanda elektrik dihasilkan di otak atau saraf tunjang untuk memantau laluan sensori dan mengesan kecacatan neurologi.

“Potensi Terasa Pendengaran Batang Otak (BAEPs) pula digunakan untuk merangsang laluan pendengaran dan merekod respons otak terhadap stimuli pendengaran, memantau fungsi batang otak serta mengesan potensi kerosakan saraf pendengaran.

“Bagi sistem Potensi Terasa Visual (VEPs), ia bertindak merangsang laluan visual dan merekod respons otak terhadap stimuli visual, memantau fungsi laluan visual serta mengesan keabnormalan saraf optik,” jelasnya sehingga kini, syarikat itu memiliki 17 unit mesin IONM aktif digunakan di seluruh negara.

Kajian

Katanya, mesin itu turut dilengkapi dengan Potensi Motorik Evoked Transcranial Elektrik (TcMEPs), rangsangan elektrik ke korteks motor dan merekod respons otot untuk memantau laluan motorik serta mengesan perubahan menunjukkan kecederaan saraf tunjang atau saraf.

Selanjutnya, sistem pemangsa saraf periferi, menyampaikan stimulasi elektrik ke saraf periferi dan memantau fungsi saraf serta mengesan perubahan boleh menunjukkan kecederaan atau penekanan saraf periferi.

6183632512937476978

Abbad memberitahu, menerusi penggunaan peranti IONM, tugas jurutera perubatan bertauliah diperlukan untuk mengendalikan penggunaan mesin berteknologi canggih itu.

“Sistem Elektrokortikografi (ECoG) pula merekod aktiviti elektrik secara langsung dari permukaan otak untuk memantau fungsi korteks dan mengesan perubahan yang boleh menunjukkan epilepsi atau keabnormalan kortikal lain.

“Elektroensefalografi Berterusan (cEEG) pula bertindak untuk memberikan pemantauan berterusan terhadap aktiviti elektrik otak dan mengesan serta mencegah kekejangan pada pesakit ketika pembedahan,” ujarnya.

Teknologi itu disatukan dalam sistem IONM yang komprehensif untuk memberikan maklum balas secara langsung kepada pakar bedah dan pakar bius.

Maklum balas terbabit digunakan untuk membantu pakar membuat keputusan berinformasi bagi melindungi dan memelihara integrasi sistem saraf semasa prosedur pembedahan kompleks.

Peranti

Abbad memberitahu, menerusi penggunaan peranti IONM, tugas jurutera perubatan bertauliah diperlukan untuk mengendalikan penggunaan mesin berteknologi canggih itu.

“Kepakaran jurutera perubatan diperlukan untuk membantu koordinasi bacaan mesin dan memastikan integrasi saraf secara langsung semasa pembedahan,” katanya.

Abbad yang juga seorang jurutera perubatan berkata, banyak kajian dijalankan menunjukkan kepentingan IONM sebagai peranti perubatan kritikal untuk mengenal pasti risiko terhadap sistem saraf semasa pembedahan.

Kini, penggunaan mesin IONM wajib digunakan semasa pembedahan tulang belakang dan otak.

“Ketiadaan mesin ini boleh mengundang isu perubatan undang-undang sekiranya terjadi kecederaan terhadap sistem saraf berkaitan semasa atau selepas pembedahan.

“Kepentingan peranti itu bagi memastikan keselamatan sistem saraf dapat dikenal pasti meningkatkan kualiti pembedahan serta memastikan proses pembedahan dapat dijalankan dengan selamat,” ujarnya.

Syarikat itu turut mengetengahkan teknologi lain seperti bantuan mikroskop robotik, Kinevo - Zeiss, mesin navigasi digabungkan serta mesin sinar-X dengan kebolehan imej 3D, Pulse - Nuvasive atau Stealth Station - Medtronic dan sistem cell saver bagi mengelakkan pendarahan semasa pembedahan.

“Kepelbagaian kombinasi perubatan itu digunakan dalam kes pembedahan rumit bagi mengurangkan risiko di samping meningkatkan ketepatan dan membantu pakar bedah mengambil keputusan tepat semasa pembedahan.

“Portfolio syarikat meliputi penggunaan pelbagai kecanggihan sistem lain yang membantu mengurus dan melancarkan pembedahan,” katanya.

Mesin Sistem Pemantauan Neurofisiologi Intraoperatif (IONM) memiliki jangka hayat sehingga 10 tahun berharga antara RM250,000 hingga RM400,000 bergantung kepada model dan aksesori yang ditawarkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram