SEBAGAI peminat bola sepak, Shahrin Hamid memiliki kegemaran mengumpul pelbagai jersi kelab bola sepak di seluruh dunia.
Minat itu mula timbul ketika dia mula menyokong kelab bola sepak negeri kelahirannya iaitu Sabah atau lebih dikenali sebagai The Rhinos dan juga pasukan Harimau Malaya.
Pada waktu itu, Shahrin berkata, dia cukup gemar untuk mengumpul jersi skuad Negeri Di Bawah Bayu terbabit termasuk jersi vintaj atau klasik.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bagaimanapun, pada satu ketika, dia berdepan masalah apabila koleksi jersi yang berada dalam simpanannya mengalami kerosakan antaranya di bahagian set nama, logo dan juga rekaan penaja.
"Sampai tahu tahap, jersi-jersi saya dia punya set nama itu mula rosak dan melekat-lekat. Jadi saya pun terfikir macam mana cara nak bagi bersih. Sebab kalau nak buang sayang.
"Kemudian untuk dapatkan koleksi jersi lama ini, biasanya saya akan dapatkan di platform Ebay. Bila beli dekat situ pun, walaupun murah, biasanya baju yang kita dapat itu adalah yang ada rosak sikit.
"Jadi masa itu saya buat keputusan cari cara macam mana nak bersihkan dan cuci baju-baju itu," katanya kepada Majoriti.
Antara koleksi jersi vintaj yang dijual oleh Shahrin.
Dalam tempoh tersebut, dia yang turut bekerja sambilan di kilang ketika sedang menyambung pengajian sarjana muda sains sukan di Open University Malaysia di Kuala Lumpur turut bereksperimen menerusi pelbagai cara dan jenis cecair cucian dengan menggunakan baju sendiri.
"Masa saya kerja di kilang, saya ada jumpa macam-macam jenis bahan cucian. Jadi saya 'trial and error' dekat baju saya sendiri. Waktu itu banyak juga baju terpaksa buang sebab rosak.
"Tapi proses itu yang berikan saya kemahiran macam mana nak guna sabun, air dan bahan kimia yang diperlukan mengikut kesesuaian dan keperluan," ujarnya.
Selepas menamatkan pengajian, Shahrin berkata, dia mula bekerja secara kontrak sebagai setiausaha di bahagian perolehan di sebuah kementerian dalam sektor kerajaan.
Pada masa sama, dengan kemahiran yang diperolehinya khususnya dalam mencuci jersi, dia turut mula mengambil upah dengan menyediakan perkhidmatan sambilan cucian dan baik pulih jersi daripada rakan dan kenalan terdekat.
Tanpa disangka-sangka, perkhidmatannya itu menerima respons cukup baik dan mendapat permintaan tinggi sehinggakan dia tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan yang diperolehi.
Malah katanya yang juga pemilik Ori Sports Trading Sdn Bhd, sampai di satu peringkat, dia juga memperoleh pendapatan mencecah RM10,000 sebulan hasil daripada pekerjaan sampingannya itu.
"Tapi sebab waktu itu kerja saya memerlukan saya banyak kerja di luar kawasan. Jadi kadang kala saya terpaksa tolak tempahan daripada pelanggan. Kemudian ada satu tahap banyak tempahan yang saya terima tangguh tidak dapat disiapkan mengikut waktu.
"Jadi waktu itulah saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan tumpu buat perkhidmatan ini sebab saya dah mula nampak peluang yang ada untuk perniagaan ini.
"Lagipun waktu itu saya antara orang terawal sediakan perkhidmatan ini di Malaysia," katanya yang kini berusia 40 tahun dan mula melakukan perkhidmatan membaiki jersi secara sepenuh masa dari rumahnya pada 2015.
Menurut Shahrin, dalam proses membaik pulih jersi, antara proses penting yang diambil kira selain membasuh adalah pemeliharaan set nama, logo jenama, pasukan dan penaja.
"Dia sebenarnya ikut keperluan pelanggan. Kadang-kadang ada yang selamatkan logo jenama macam Nike atau Adidas. Ada juga yang nak set nama sahaja, logo penaja dia minta buang," ujarnya.
Ujarnya, jersi yang dibaik pulihnya itu terdiri daripada pelbagai jenis kelab termasuk dari luar dan dalam negara.
Shahrin kini turut membuka kedai di Petaling Jaya.
Jersi 'kung fu' MU
Sepanjang hampir 10 tahun berkecimpung dalam dunia membaik pulih jersi, Sharin berkata, antara baju yang mendapat permintaan tinggi dalam kumpulan kolektor adalah jersi lama daripada pasukan MU khususnya daripada zaman 1990-an.
Ujarnya, pada waktu itu, kesemua jersi dikeluarkan pasukan gergasi kelab England terbabit adalah khusus untuk pemain menyebabkannya ia hanya dihasilkan dalam jumlah yang tidak banyak.
"Jika jersi lengan panjang, nilai dia biasa dalam RM25,000 ke atas. Malah ada juga yang cecah RM100,000 pun ada," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, dirinya turut berpeluang memiliki sebuah jersi MU yang dikenali sebagai jersi 'kung fu' merujuk kepada tahun berlakunya insiden kontroversi apabila pemain terkenal pasukan tersebut, Eric Cantona menerajang peminat pada musim 1994/1995.
Ujarnya, jersi terbabit merupakan dipakai oleh pemain simpanan pasukan tersebut dan dia menjualnya kepada seorang pembeli dari Hong Kong pada harga sekitar RM5,000.
"Tapi itu antara penyesalan saya juga kenapa saya jual. Sebab jersi itu dah tak boleh nak dapat dah sekarang.
"Kalau nak beli dekat kolektor pun harga puluh-puluh ribu berbanding harga masa saya jual," ujarnya.
Shahrin kini turut dibantu oleh lima orang pekerja.
Dalam pada itu, Shahrin yang juga bapa kepada enam orang anak berkata, selain membaik pulih jersi, dia turut mula menjual koleksi pelbagai jenis jersi vintaj.
Pada masa sama, dia kini turut mula menjadi pembekal koleksi jersi terpakai yang sudah siap dibaik pulih kepada seorang penjual yang memiliki kedai menjual jersi klasik di Amerika Syarikat (AS).
"Kalau nak tahu dekat AS ini kedai jersi bola sepak vintaj dia masih tak begitu meluas macam di United Kingdom (UK). Jadi waktu mula-mula itu saya bekalkan sekitar 50 jersi seminggu. Tapi sekarang ini ia dah meningkat kepada 150.
"Maknanya dalam sebulan saya perlu hantar dalam 600 helai jersi yang perlu dibekalkan kepada mereka," ujarnya yang turut mula membuka sebuah kedai di Petaling Jaya, Selangor.
Bagi di pasaran AS, Shahrin berkata, antara jersi yang mendapat permintaan adalah daripada pasukan yang beraksi di liga Eropah seperti EPL, UCL dan La Liga.
Dengan perkembangan tersebut, syarikatnya kini boleh menerima pendapatan mencecah RM10,000 hingga RM15,000 seminggu.
"Walaupun agak tinggi, tapi sebenarnya kos segi operasi kami pun agak besar juga khususnya untuk cari barang dan bekalan jersi.
"Maksudnya kalau saya dapat untung, separuh daripadanya akan digunakan untuk modal dapatkan bekalan," ujarnya yang kini mempunyai lima orang pekerja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram