MESKIPUN dibelenggu cabaran dan batasan fizikal akibat serangan penyakit polio, nama G. Kannipan terpahat dalam ingatan rakyat jelata.
Ketabahan dan keteguhan lelaki berusia 71 tahun dalam mengharungi kehidupan dengan penuh semangat menjadi sumber inspirasi ramai.
Polio, atau poliomyelitis merupakan penyakit berjangkit berpunca daripada jangkitan virus polio yang boleh menyerang saraf tunjang dan saraf otak.
BACA LAGI: Pesona Kawah Ijen: Keindahan dan pengorbanan di sebalik asap belerang
BACA LAGI: Hanya guna perkakas dapur, DJ DIY di Kenya jadi inspirasi golongan muda cari rezeki
Penyakit polio yang memberi kesan kepada anggota badan seseorang. — KKM
Walaupun kanak-kanak antara golongan yang sering menjadi mangsa utama penyakit polio, tetapi, individu dewasa yang belum divaksin juga boleh terjangkit.
Kebanyakan pesakit polio tidak menunjukkan sebarang gejala, ia juga berupaya untuk menyebabkan kelumpuhan kekal dan membawa maut.
Dalam keadaan kakinya yang tempang itu, Kannipan tetap melaksanakan tugasnya sebagai pengendali lif di pasar raya Gama dan Gedung Sebaneka dengan tekun selama 41 tahun.
Senyuman dan gurauan mesranya merupakan dua sifatnya yang sentiasa dipamerkan ketika menyapa pengunjung setiap hari.
Kannipan (kanan) membantu para pengunjung menggunakan lif walaupun mempunyai batas fizikal. — The Star
"Saya duduk di dalam lif dan membantu orang ramai memasukkan troli mereka ke dalam lif atau menunjukkan mereka ke aras yang betul.
"Ia beri manfaat dalam pelbagai cara kerana termasuk pekerjaan yang stabil selama beberapa dekad," katanya.
Dianggap sebagai pekerjaan kuno atau tidak gah, katanya, mengendalikan lif secara manual sebenarnya memerlukan kepekaan untuk memastikan lif berhenti di tingkat yang betul.
Kannipan yang terpaksa meredah perjalanan sejauh tujuh kilometer (km) menaiki bas dari Air Itam, Pulau Pinang ke tempat kerjanya di George Town berkata, apa-apa pekerjaan akhirnya boleh membosankan dan ia terpulang kepada setiap individu.
Kannipan bersyukur masih dikurniakan kudrat untuk mencari rezeki. — The Star
"Ini semua tentang keselesaan melakukan kerja dan bagi saya, membuat orang tersenyum dan membantu mereka itu sudah memuaskan.
"Saya masih tidak mahu duduk di rumah. Di sini, saya sibukkan diri di samping menjana pendapatan.
"Saya suka bekerja dan akan mudah bosan jika duduk di rumah. Anak-anak saya pula sudah minta untuk bersara tetapi saya akan bertahan lama," jelasnya.
Walaupun lebih empat dekad berkhidmat, bapa kepada dua anak itu menjangkakan melakukan tugas itu untuk beberapa tahun lagi.
Kannipan yang dijangkiti polio pada usia empat tahun berkata, keadaan fizikalnya kini membataskannya daripada memandu kereta atau menunggang motosikal.
Perkhidmatan pengendalian lif secara manual secara tidak langsung memudahkan urusan pengguna lif di pasar raya tersebut. — The Star
Katanya, dia mula bekerja sebagai pengendali lif di pasar raya tersebut sejak berumur 29 tahun dengan bantuan rakannya.
"Selama bertahun-tahun saya memutuskan untuk tidak memilih kerja lain kerana tidak banyak tempat yang akan mengambil saya disebabkan keadaan fizikal ini.
"Di sini, saya duduk dalam lif dan menunggu pengunjung. Saya biasanya sering berkomunikasi kerana ia adalah suatu perkhidmatan.
"Saya juga pernah bertemu dengan pengguna yang biadab, tetapi saya tidak terlalu peduli dengannya dan hanya menjalankan tugas sebaik mungkin.
"Kadang-kadang mereka rasa saya lambat tetapi tidak mengapa, saya cuba dan tetap teruskan," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram