SATU sudu, beberapa cangkuk kain, cerek penutup plastik sudah cukup untuk digunakan oleh seorang pemain rakaman muzik atau lebih dikenali sebagai DJ Boboss di Afrika Timur.
Boboss adalah singkatan kepada ayat 'jadilah bos (majikan) anda sendiri'.
Lelaki bernama Paul Mwangi, 27, itu juga dikenali rata-rata warga maya dan masyarakat setempat dek keunikan peralatan muziknya yang diolah daripada perkakas dapur.
BACA LAGI: [VIDEO] Elak kes jenayah, penghadang mudah alih bentuk L di AS wajar diaplikasi di sekolah Malaysia
Paul dikenali sebagai DJ Boboss di Kenya. — Agensi
Menjadi rutin hariannya, Paul akan menyusun dan mempersiapkan lokasinya di tengah-tengah tapak jualan yang sibuk di Kenya, Afrika Timur.
Paul menggunakan meja papan kecil dilukis dengan cat, pencangkuk kain, suis dan wayar-wayar yang disambungkan dari bateri kereta ke pembesar suara.
Hanya membuat bunyi menggunakan sudu besi dan magnet, Paul mampu menarik puluhan penonton untuk berkumpul dan menyaksikan gelagatnya memainkan lagu-lagu menghiburkan.
Pemuda itu juga lincah membaiki kerosakan atau gangguan teknikal sendiri iaitu dengan mengeluarkan pemutar skru lalu menggigit wayar sambil muzik tetap terus diputar.
Peralatan DJ yang dibuat secara DIY. — Agensi
"Pada awalnya, ayah yang belikan saya radio. Tetapi, selepas beberapa lama ia rosak, ayah tidak mahu beli baharu.
"Saya tertekan kerana saya obses dengan muzik dan radio, jadi saya cuba baiki menggunakan pisau," katanya.
Tidak lama kemudian, Paul kerap membaiki peranti elektronik lain di kampungnya sebelum bergiat aktif menjadi DJ.
Kata Paul, minatnya mula muncul selepas mendapat inspirasi daripada seorang DJ di sebuah bar di Kenya.
"Saya suka cara dia bermain muzik dan menerima respons positif daripada orang ramai.
"Tetapi, ketika itu saya tak ada wang untuk beli peralatan profesional dan hanya guna perkakas yang ada di rumah," ujarnya.
Hasil idea kreatifnya itu, Paul berjaya menjadikan aktiviti itu sebagai sumber pendapatannya.
Paul juga kebiasaannya akan pergi ke pasar atau kawasan kaki lima untuk memberi hiburan di samping mencari rezeki.
"Pertunjukan di jalanan adalah sangat istimewa kerana kita dapat bergaul dengan ramai orang.
"Ramai yang tidak pernah lihat DJ bergaul seperti ini," katanya lagi.
Melihat kesungguhan itu, seorang penonton yang merupakan bekas askar, Zachary Mibei, 48, senang dengan cara Paul menggambarkan situasi untuk golongan muda di Kenya.
Menurutnya, Paul tidak mempunyai persiapan begitu profesional dan semua peralatan adalah buatan sendiri atau do-it-yourself (DIY).
Lebih selesa dengan cara sendiri, Paul memilih untuk mengekalkan identitinya sebagai DJ DIY .
Mungkin ia bukanlah satu kejayaan besar buat pemuda itu, namun tetap dapat dijadikan sebagai inspirasi terutama para penggiat seni muda di seluruh dunia termasuk Malaysia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram