BERCINTA ketika kuliah bukan penghalang buat sepasang suami isteri menamatkan pengajian dengan jayanya.
Dr Muhammad Adli Syahmi Asyraf Alisha, 25, bersama isterinya, Dr Siti Nursabrina Sheikh Ahmad, 25, yang merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan berjaya menamatkan pengajian dan menggenggam segulung ijazah pada Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor pada Sabtu.
Perkenalan sejak dari zaman bangku pengajian membawa ke jenjang pelamin selepas Dr Muhammad Adli Syahmi dan Dr Siti Nursabrina sah bergelar sebagai suami isteri.
Pasangan itu juga berkhidmat sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.
BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 1,500 kali buat terjunan udara, Haziq Azlan pupuk keberanian sejak berusia 11 tahun
BACA LAGI: Hanya guna perkakas dapur, DJ DIY di Kenya jadi inspirasi golongan muda cari rezeki
Pasangan suami isteri yang menempuhi cabaran belajar bersama-sama.
Dr Muhammad Adli yang juga penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) berkesempatan berkongsi tip di sebalik kejayaan dikecapinya.
“Bagi saya, tiada jalan mudah untuk kita mencapai satu kejayaan.
“Tetapi, ada satu tip yang saya boleh kongsi iaitu perlunya selalu mendekati pensyarah-pensyarah kita kerana mereka orang yang sangat berpengalaman.
“Mereka dapat memberikan nasihat yang berguna dan kita patut guna nasihat ini dan terapkan dalam pelajaran kita,” kongsinya.
Dr Muhammad Adli turut menyentuh tentang keseimbangan antara kehidupan peribadinya dan pembelajaran.
Nasihatnya, para pelajar perlu bijak menguruskan masa belajar dan kehidupan peribadi.
“Waktu bergelar seorang pelajar, kita kena utamakan pelajaran kita.
“Bercinta boleh, tapi janganlah kita abaikan pelajaran dan hanyut sampai tersasar daripada jalan yang sepatutnya,” tambahnya.
Sementara itu, isterinya berkata, pengorbanan perlu dilakukan demi mencapai sebuah keinginan.
Dr Siti Nursabrina berpegang pada prinsip iaitu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.
“Saya bangun setiap pagi, berdoa dan juga memohon restu kepada ALLAH dan ibu bapa serta berusaha bersungguh-sungguh dalam kelas dan di hospital,” ujarnya.
Sepanjang tempoh pengajian, sudah tentunya terdapat cabaran yang akan dihadapi oleh setiap pelajar.
Begitu juga dengan Dr Muhammad Adli ketika berkongsi pengalamannya sewaktu semester ketiga.
“Pada 2021, saya merupakan antara pelajar terawal dijangkiti Covid-19. Ia merupakan cabaran psikologikal bagi saya kerana rasa sangat takut.
“Data tentang penyakit ini ketika itu juga tak banyak dan saya tidak tahu sama ada saya akan selamat atau tidak,” luahnya.
Ibu Dr Muhamad Adli (tengah) turut menjadi tulang belakang pasangan suami isteri tersebut menamatkan pengajian dengan berjaya.
Menurutnya, dikuarantin dan berkurung selama 11 bulan di kolej sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan suatu tekanan mental baginya kerana tidak dapat bergaul dengan orang luar.
Manakala, cabaran besar buat si isteri pula adalah apabila gagal dalam satu daripada subjek diambilnya ketika peperiksaan akhir.
Namun, ia tidak sesekali mematahkan semangat dirinya untuk terus bangkit.
“Saya tiada pilihan melainkan untuk bangkit semula, belajar lebih kuat daripada biasa dan juga pastikan lulus peperiksaan.
“Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya,” jelasnya yang pada awal pernah berasa ingin putus asa, sedih dan kecewa gara-gara tidak lulus dalam peperiksaan.
Perkongsian daripada dua graduan kelahiran Selangor itu secara tidak langsung membuktikan bahawa cabaran bukanlah untuk melemahkan diri, malah untuk menguatkan serta meningkatkan lagi motivasi diri hingga mampu berjaya mencapai kejayaan.
Kata Dr Siti Nursabrina, pasangannya merupakan seorang yang bersungguh-sungguh dalam kehidupan sehingga memberi contoh dan semangat kepada dirinya.
“Hidup ini adalah suatu pilihan. Saya memilih suami saya sebagai pendorong, dia seorang yang banyak membantu saya dalam menempuhi kehidupan ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram