Pesona Kawah Ijen: Keindahan dan pengorbanan di sebalik asap belerang


  • Massa
  • Selasa, 19 Nov 2024

Kawah Ijen antara destinasi pelancongan menarik untuk dilawati di Banyuwangi, Indonesia.

"KAMU tidak capek (penat)?," tanyaku.

"Tidak, soalnya sudah biasa kak," jawabnya sambil tersenyum.

Itulah ungkapan yang berkali-kali diutarakan penulis kepada seorang pemandu pelancong ketika mendaki gunung berapi Ijen terletak di Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia pada Selasa lalu.

BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental

BACA LAGI: Norehan 'tak kosong', kaki motor pernah kena paksa buka tudung, kongsi perlu arif jalan sebelum 'ride' di negara orang

Fenomena api biru yang menjadi tarikan pelancong tetapi tidak mudah untuk dapat disaksikan.

Fenomena api biru yang menjadi tarikan pelancong tetapi tidak mudah untuk dapat disaksikan.

Meskipun seperti nyawa hampir putus di tengah-tengah pendakian, rasa lelah perjalanan terhapus oleh pemandangan menakjubkan yang terhampar di hadapan mata.

Dikenali dengan nama Kawah Ijen, ia membawa maksud 'sendiri' kerana menjadi satu-satunya kawah dengan fenomena luar biasa dipanggil api biru atau blue fire.

Fenomena itu dapat disaksikan sebelum terbitnya matahari dan pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Disebabkan cuaca yang lembap dek hujan berterusan, penulis tidak berkesempatan menyaksikan fenomena tersebut.

Namun, sesampainya di puncak, mata ini bagaikan tidak dapat berkelip, mulut tidak berhenti memanjatkan kesyukuran apabila dikurniakan rezeki sedemikian.

Dengan ketinggian 2,769 meter (m), kawah seluas 20 kilometer persegi dipenuhi cecair sulfurik hijau yang dalamnya kira-kira 183m.

photo_6186027137593622316_y

Asap tebal yang menyeliputi seluruh kawasan gunung dan kawah.

Asap putih tebal terhasil dari fenomena volkano secara tidak langsung menambah suasana hening yang sukar dilupakan sepanjang berada di atas.

Bagaimanapun, para pengunjung diingatkan untuk sentiasa berhati-hati serta memakai topeng muka khas bagi melindungi diri daripada asap belerang pekat yang mampu mengganggu saluran pernafasan.

Semangat anak muda Indonesia

Menyelusuri jalur tebing gunung tersebut, sempat juga penulis berborak bersama pemandu pelancong warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Iqdam.

Pemuda berusia 20-an itu tampak tenang dan santai walaupun semasa mendaki jalan-jalan cerun sehingga ke puncak.

Baru setahun jagung umurnya, namun Iqdam ternyata mempunyai semangat dan jiwa yang besar dalam hidupnya.

Sekali pandang mungkin terlihat biasa, siapa sangka pengalaman Iqdam sebagai pemandu pelancong itu dapat membentuk keperibadiannya agar menjadi lebih matang.

photo_6186027137593622313_y

Iqdam antara pemandu pelancong sepanjang di Kawah Ijen.

Bermula awal April lalu sehingga kini, dia yang juga pelajar universiti itu hanya menjadi pemandu pelancong sebagai kerja sambilan.

Meskipun mendapat tentangan daripada ibunya, anak tunggal dalam keluarga itu tetap meneruskan kerjaya tersebut dek minatnya terhadap bidang pelancongan yang mendalam.

Katanya, membawa pelancong ke destinasi-destinasi tarikan bukan sekadar membuka peluang melihat keindahan alam, tetapi juga merupakan pengalaman mahal buatnya.

"Saya dapat tengok pelbagai ragam orang ramai, belajar daripada kisah mereka dan belajar bahasa asing juga.

"Saya juga nampak perbezaan mereka ketika mendaki. Contohnya, pelancong dari Eropah boleh ambil masa kira-kira 30 minit sahaja untuk sampai ke puncak berbanding negara lain.

"Kalau pelancong China pula banyak ragamnya dan paling gemar bergambar di setiap sudut. Manakala, pelancong Malaysia pula biasa sahaja," katanya kepada Majoriti.

Ditanya pula tentang keadaan penduduk sekitar sekiranya berlaku gempa bumi atau letusan di Kawah Ijen.

photo_6186027137593622317_y

Para pekerja kereta sorong menunggu pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatannya di lereng-lereng gunung.

Menurutnya, perkara itu dianggap normal dan diibaratkan sebagai 'kentut' bagi kesemua penduduk di kawasan tersebut.

Memandangkan kawasan kawah yang terletak jauh daripada perumahan, ia masih dianggap selamat untuk dijadikan tempat tinggal.

Lereng gunung punca rezeki

Bagi pengunjung yang mungkin mempunyai masalah kesihatan atau tidak mampu meneruskan pendakian selama lebih dua jam tidak perlu bimbang.

Hal ini kerana, terdapatnya perkhidmatan kereta sorong sama ada untuk ke puncak atau turun ke bawah atau kedua-duanya sekali.

Tetapi, lebih menakjubkan apabila melihat kesungguhan dan kepayahan para pekerja itu sanggup menjadikannya sebagai punca rezeki mereka.

Terdapat juga aktiviti menjual ketulan-ketulan sulfur yang diukir.

Terdapat juga aktiviti menjual ketulan-ketulan sulfur yang diukir.

Rata-rata mereka pula terdiri daripada kaum lelaki yang berusia kira-kira 30-an hingga 50-an.

Harga dikenakan sekitar RM300 (1 juta Rupiah) juga mungkin berbaloi dengan kerja keras mereka.

Justeru, mendaki di Kawah Ijen bukan hanya mahu melihat keindahan alamnya, namun mengambil inspirasi daripada kekuatan manusia-manusia yang luar biasa di sekitarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram