Bukan sekadar hobi, anak Sabah berdarah Indonesia buktikan mampu cipta nama dalam seni kaligrafi Cina


  • Massa
  • Sabtu, 23 Nov 2024

Dewi yang mula aktif dalam seni kaligrafi Cina sejak berusia 10 tahun.

KALIGRAFI merupakan antara seni yang sudah lama wujud dalam pelbagai budaya di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Keindahan seni itu bagaimanapun bukanlah terletak hanya pada kemahiran teknikal dalam menulis, malah ia juga bergantung pada ekspresi perasaan dan maksud yang ingin disampaikan kepada orang ramai.

Kemampuan seseorang untuk mempunyai bakat dalam seni kaligrafi juga tidak mengira kaum, budaya mahu pun agama kerana ia adalah satu cara mengekspresi diri secara universal sekali gus mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

BACA LAGI: Pesona Kawah Ijen: Keindahan dan pengorbanan di sebalik asap belerang

BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 1,500 kali buat terjunan udara, Haziq Azlan pupuk keberanian sejak berusia 11 tahun

6188397426965070965

Semua lapisan masyarakat boleh menguasai seni kaligrafi Cina.

Sebagai contoh, jika sebut sahaja tentang kaligrafi Cina, pastinya ramai yang berfikiran bahawa rata-rata penggiat seni itu terdiri dalam kalangan masyarakat kaum sama.

Namun, dengan perubahan zaman kini, orang ramai bukan sahaja kaum Cina dapat mempelajari dan menguasai seni tersebut dengan cara mereka sendiri.

Mampu membuktikan bahawa seni kaligrafi Cina tidak mempunyai had atau batasan, Dewi Eva Natasha, 20, menjadi antara yang berdiri di atas pentas ketika Majlis Perasmian Karnival Kaligrafi Dunia di Kuala Lumpur pada 2 November lalu.

Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu menganggap seni tersebut bukan sekadar hobi, tetapi merupakan separuh daripada perjalanan hidupnya.

Dewi yang juga pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kuching, Sarawak berkata, perjalanan seninya bermula sejak di bangku sekolah rendah iaitu ketika berusia 10 tahun.

6188397426965070974

Dewi bersama antara karya seni kaligrafi yang dihasilkan.

Bersekolah di sekolah jenis kebangsaan Cina di Sabah, Dewi sememangnya sudah didedahkan dengan seni kaligrafi di sekolah terbabit.

"Saya melihat senior-senior menulis dan teruja dengan kecantikan tulisan itu. Disebabkan itu, saya ada rasa ingin mencuba sesuatu yang baharu.

"Memandangkan saya ketika itu tiada apa-apa untuk dilakukan selepas waktu kelas.

"Lagi pun, sekolah itu sangat aktif dalam kaligrafi Cina dan saya tak mahu lepaskan peluang untuk sertai mereka," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, Dewi bukan sahaja aktif menjadikan seni kaligrafi sebagai hobi semasa waktu lapang, namun dia turut membawa minatnya itu ke pentas pertandingan.

Pada usianya yang muda, Dewi ternyata berjaya memenangi pelbagai pertandingan kaligrafi di peringkat sekolah hingga antarabangsa.

6188397426965070964

Dewi (tengah) bersama ibu dan ayah yang sentiasa menyokong minatnya dalam kaligrafi Cina.

Sejak itu, kecintaannya terhadap seni tersebut semakin mendalam dan perjalanannya diteruskan sehingga ke hari ini.

Baginya, seni kaligrafi mengajarnya banyak perkara dalam hidup termasuk kesabaran dan ketekunan dalam melakukan sesuatu.

"Menulis kaligrafi bukanlah satu aktiviti yang boleh dilakukan dalam masa singkat. Satu sesi menulis kadang-kadang boleh mengambil masa berjam-jam.

"Saya ingat masa di sekolah dulu, saya dan kawan-kawan berlatih menulis kaligrafi hampir setiap hari selepas sekolah.

"Kadang-kadang sampai pukul 5 petang. Setiap huruf yang ditulis perlu perhatian dan kesabaran. Kita tak boleh terburu-buru kerana ia adalah satu bentuk seni yang perlu dihasilkan dengan jiwa yang tenang," ujarnya.

Normal juga bagi Dewi yang bukan berbangsa Cina untuk berdepan kesulitan dalam menghasilkan karya seni dengan sempurna.

Katanya, meskipun kaligrafi Cina hanya kelihatan seperti menulis semata-mata, ia juga memerlukan pemahaman mendalam agar dapat menyampaikan penulisan yang penuh bermakna pada yang melihatnya.

"Saya berasal dari keluarga campuran. Ayah saya orang Sabah, manakala ibu pula Indonesia.

"Di rumah, kami banyak bercakap dalam bahasa Sabah dan Indonesia, dan tidak banyak dalam bahasa Cina.

"Jadi, pada mulanya, agak sukar untuk saya menguasai bahasa Cina dengan baik," kongsinya.

6188397426965070966

Dewi ketika melawat pusat seni kaligrafi di Beijing, China pada Oktober lalu.

Walaupun bahasa menjadi cabaran, Dewi tidak menjadikannya sebagai satu halangan untuk terus berusaha meningkatkan kemahiran seni itu.

"Walaupun saya tidak faham sepenuhnya makna tulisan itu, saya masih dapat merasakan ketenangan dan kepuasan dalam setiap goresan huruf yang ditulis," tambahnya.

Seiring dengan minatnya dalam kaligrafi, Dewi juga mengambil langkah mempelajari budaya masyarakat Cina terutamanya selepas pulang dari China pada Oktober lalu.

Katanya, peluang ke China membuatkannya lebih teruja untuk melihat dan merasai sendiri keindahan serta warisan budaya yang berkaitan dengan seni kaligrafi di negara itu.

Namun, minatnya itu sama sekali tidak dijadikan sebagai alasan untuk Dewi mengabaikan pengajiannya.

"Bagi saya, penting untuk mencari keseimbangan antara dua dunia ini iaitu seni dan sains.

"Sebagai seorang yang minat dengan kedua-duanya, saya berusaha untuk cipta keseimbangan antara dunia akademik yang penuh dengan teori dan kajian sains serta seni kaligrafi yang lebih bebas dan kreatif," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram