Tak berjaya guna dron, gabungan AI bersama inovasi AGV jadi pencetus automasi di ladang kelapa sawit


  • Bizz
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Razalee dan pasukannya mencipta jentera ADR yang mengautomasikan aktiviti penyemburan baja di ladang kelapa sawit.

TIGA tahun lalu, Razalee Ismail bertemu pelanggan yang ingin mengetahui sama ada dron yang dibangunkan syarikatnya boleh digunakan untuk menyembur baja pada pokok kelapa sawit yang sudah matang.

Pada waktu itu, dia masih ragu-ragu terhadap keupayaan teknologi dibangunkan itu bagi memenuhi keperluan tersebut.

“Saya kata mustahil kerana dron kami besar dan mahkota (bahagian atas pokok tempat pelepah bercambah) pokok kelapa sawit matang boleh menjadi penghalang,” katanya yang merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Meraque Services, iaitu syarikat penyedia teknologi automasi yang berpangkalan di Selangor.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Bagaimanapun, selepas pelanggannya itu berkeras untuk memiliki teknologi tersebut, Razalee dan pasukannya memutuskan mengambil peluang dan merealisasikannya dengan mula menggunakan dron penyembur tempat hibrid milik mereka.

“Mereka datang kepada kami untuk mendapatkan bantuan, dan kami mahu memenuhi permintaan mereka. Dan anda tahu apa yang berlaku? Dron itu melanggar pokok dan terhempas ke tanah.

"Mereka (pelanggan) melihat dron itu dan berkata, ‘Baiklah, terima kasih kerana mencuba!’” kata Razalee sambil ketawa mengenangkan kejadian itu.

6177036315049180576

Razalee dan pasukannya turut berdepan kegagalan ketika peringkat awalnya untuk mengautomasikan amalan perladangan kelapa sawit. — Gambar hiasan

Yakin bahawa kemajuan teknologi adalah penting untuk menangani cabaran seperti kekurangan buruh dan meningkatkan produktiviti, Razalee mula mengusahakan kenderaan darat autonomi (AGV).

AGV yang menyerupai traktor pandu sendiri, direka untuk membantu pekerja menyembur baja di ladang kelapa sawit yang luas.

“Pada mulanya, kami merancang membina sebuah kenderaan empat roda tetapi dengan cepat menyedari ia mungkin tidak mampu menangani keadaan rupa bumi yang mencabar dan tidak rata di ladang itu,” katanya sambil menyatakan bahawa cuaca musim tengkujuh menimbulkan risiko tayar terkandas di dalam lumpur itu.

Menangani masalah itu, Razalee dan pasukannya memutuskan untuk memasangkan tayar terbabit dengan trek getah untuk daya cengkaman lebih baik.

Malah, alat terbabit turut dibantu dengan sistem LIDAR atau pengesanan dan jarak cahaya untuk membolehkannya menavigasi dalam gelap, kerana kamera konvensional berdepan kesukaran untuk beroperasi dalam keadaan cahaya malap.

Sistem LIDAR berupaya merangka peta 3D terperinci terhadap persekitaran bagi memastikan navigasi lebih tepat dan mengelakkan halangan, tidak kira sama ada siang atau malam.

Semasa AGV merentasi ladang, ia juga mengumpul data yang dihantar ke pusat arahan dalam masa sebenar, dimungkinkan dengan penderia LoRa (jarak jauh) yang diletakkan secara strategik di seluruh tapak perladangan terbabit.

"Apabila anda pergi ke ladang, tiada sambungan Internet, jadi kami pada dasarnya terpaksa membina rangkaian kami sendiri," katanya sambil mengatakan bahawa dia telah mempatenkan ciptaan tersebut.

LoRa merupakan teknologi rangkaian tanpa wayar yang direka untuk penghantaran sejumlah kecil data ke atas julat lanjutan dengan menggunakan tenaga kuasa minimum.

6177036315049180575

Penggunaan teknologi ADR turut dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja. — Gambar hiasan

Razalee berkata, untuk mengendalikan kuasa penyemburan, pemilik ladang biasanya memerlukan tiga pekerja terdiri daripada seorang untuk memandu traktor dan dua lagi untuk penyemburan baja.

Bagaimanapun, dengan AGV, hanya seorang yang diperlukan untuk mengendalikan kenderaan dari jauh kerana proses penyemburan baja dilakukan secara automatik.

AGV juga mempunyai sistem pintar yang dibangunkan menerusi analisis 10,000 imej pokok kelapa sawit menggunakan kecerdasan buatan (AI).

“Jadi ia semburan secara terkawal. Ia hanya akan menyembur pokok yang dikenalinya berdasarkan data,” kata Razalee.

Berbeza dengan kaedah semburan konvensional yang sering digunakan, yang didakwanya dicirikan oleh 'semburan sepanjang jalan', AGV mengurangkan pembaziran sehingga 40 peratus.

Beliau berkata, teknologi tersebut adalah contoh yang baik bagi pertanian yang mengambil kira aspek ketepatan menggunakan AI dan analisis imej bagi mengoptimumkan amalan pertanian. — The Star/ANGELIN YEOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram