KPKM bentuk jawatankuasa khas selesai isu kekurangan beras putih tempatan — Mat Sabu


  • Primer
  • Ahad, 24 Nov 2024

KPKM sedang melakukan kerjasama dengan pelbagai pihak lain bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan.

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menyusun satu jawatankuasa khas bagi menangani isu kekurangan bekalan beras putih tempatan yang berlaku ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya sedang melakukan kerjasama dengan pelbagai pihak lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Jawatankuasa ini sedang disusun dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) (Datuk Seri Isham Ishak) juga akan ambil isu ini sebagai isu yang besar bagi mencari jalan terbaik,” katanya.

BACA LAGI: Larang campur beras import, lokal antara 4 cadangan tangani isu kekurangan beras putih tempatan

BACA LAGI: Peningkatan harga beras putih tempatan tak bebankan golongan B40

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Negeri Selangor Parti Amanah Negara (AMANAH) 2024 di Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Mohamad mengulas pertanyaan pemberita berhubung isu yang dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkenaan beras putih tempatan yang didakwa sehingga kini hampir tidak terdapat di pasaran ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2025) peringkat jawatankuasa bagi KPKM di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sementara itu, ujar Mohamad, pihaknya ketika ini dalam usaha mentransformasikan agensi dan badan berkaitan pengeluaran padi negara termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan.

Selain itu jelasnya, KPKM turut giat mempromosikan penanaman padi ala Sekinchan secara besar-besaran untuk meningkatkan pengeluaran padi pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat 24 Oktober lalu berkata, pelbagai pendekatan sedang dilaksana KPKM bagi memastikan keberadaan bekalan beras putih tempatan di pasaran.

Beliau berkata, antara pendekatan dilaksanakan adalah mengedar beras putih tempatan melalui program jualan dan rangkaian di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta rantaian pasar raya terpilih. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram