Peningkatan harga beras putih tempatan tak bebankan golongan B40


  • Massa
  • Selasa, 11 Jun 2024

Keputusan mengenai kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) akan dimuktamadkan sebelum Oktober ini.

PENINGKATAN harga beras putih tempatan (BPT) yang akan dilaksanakan Oktober ini tidak akan membebankan golongan B40.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, peningkatan harga beras BPT itu sebaliknya akan menguntungkan rakyat.

"Isu utama adalah ketersediaan beras putih tempatan di pasaran, bukan harga semata-mata.

BACA LAGI: Cadangan naik harga siling beras putih muktamad sebelum Oktober

BACA LAGI: Teliti cadangan naikkan harga siling beras putih tempatan, jangan sampai terkesan dengan penyasaran subsidi diesel

"Kita sedia maklum bahawa beras putih tempatan hampir tiada dalam pasaran walaupun harganya ditetapkan pada harga RM26 sekampit bagi 10 kilogram (kg) pada ketika ini.

"Jika ditanya golongan B40 sekali pun, susah untuk mereka mendapatkan beras BPT ini pun.

"Saya rasa, ia tidak akan memberi tekanan kerana beras itu tidak ada (buat ketika ini) dan kebanyakan pengguna sudah beralih membeli beras import," katanya kepada Majoriti.

Interview Datuk Wira Ameer AliAZHAR  MAHFOF/The Star (17/8/2020)

Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin

Ameer menyifatkan jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi beras contohnya, ia akan memberikan keuntungan kerana ia akan menyeimbangkan harga beras tempatan dan import.

"Ini adalah 'win-win situation' buat kerajaan dan juga rakyat," ujarnya.

Terdahulu, keputusan mengenai kenaikan harga siling BPT akan dimuktamadkan sebelum Oktober ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata cadangan itu sedang diperhalusi dalam perbincangan di peringkat akhir bersama beberapa kementerian lain.

"(Keputusan) masih di peringkat perbincangan. Sebarang perubahan harga dan sebagainya, (ia) perbincangan membabitkan empat kementerian, bukan hanya KPKM, (tetapi termasuk juga) Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup (KPDN) dan juga beberapa kementerian lain.

"Sekarang, (belum ada keputusan) dan masih lagi di peringkat perbincangan dan menuju kepada penyelesaian akhir dan keputusan akan dimuktamadkan sebelum Oktober," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram