DI atas sisa-sisa struktur bangunan yang runtuh, beberapa lelaki berpakaian seragam dilihat secara tergesa-gesa melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Tidak lama kemudian, sepasukan anggota perubatan bergegas ke tapak lokasi dengan membawa pengusung untuk meletakkan mayat yang dikeluarkan dari serpihan runtuhan.
Namun, ia bukanlah situasi bencana sebenar, sebaliknya ia merupakan latihan simulasi di kemudahan latihan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Pulau Meranti, dekat Puchong, Selangor.
BACA LAGI : Masih terbayang beg mayat mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, 2 minggu Aliff bertarung emosi
Menerusi kos pembinaan sebanyak RM60 juta, kemudahan itu dilengkapi dengan pelbagai alatan dan kenderaan persediaan seperti kereta kebal yang tidak berfungsi serta kereta api bawah tanah yang rosak bertujuan meniru senario di lokasi bencana.
Latihan simulasi itu menandakan berakhirnya latihan dua hari bagi operasi menyelamat di tapak tanah runtuh dan membabitkan seramai 150 anggota dari pelbagai pihak berkuasa.
Antara yang terlibat termasuk wakil dari pihak berkuasa tempatan Selangor, pejabat tanah dan daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia dikendalikan oleh Pasukan Bantuan dan Penyelamat Khas Malaysia (Smart), sebuah unit khas di bawah Nadma.
Selain itu, latihan tersebut menyaksikan pelajaran teori bagi memberi gambaran kepada para peserta mengenai cabaran yang mereka perlu hadapi ketika misi menyelamat.
Seramai 150 peserta menyertai latihan simulasi di kemudahan latihan kemudahan Nadma di Pulau Meranti, dekat Puchong, Selangor.
Peningkatan kesiapsagaan
Sementara itu, program menyelamat itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Selangor untuk bersiap siaga berdepan kemungkinan tanah runtuh, ditambah pula ketibaan musim tengkujuh Timur Laut akan datang.
Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dilapor meramalkan musim hujan dijangka menyaksikan kira-kira empat hingga enam episod hujan lebat.
MetMalaysia turut dilapor memaklumkan bahawa, monsun Timur Laut akan berlangsung mulai November hingga suku pertama tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Pengurusan Bencana Negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, latihan itu adalah kerjasama antara jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan agensi dari Jepun.
"Ia tidak terhad hanya kepada bencana alam, kerana kami juga telah mengadakan latihan untuk bertindak balas sekiranya aset keselamatan di Selangor terancam.
"Kami memberi tumpuan kepada aspek pengurusan krisis dan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi kecemasan," katanya ketika ditemui pada majlis tamat latihan tersebut.
Mohd Najwan Halimi
Turut mengiringi beliau adalah Timbalan Pengarah Nadma (Jabatan Pelaksanaan Operasi), Meor Ismail Meor Akim.
Pada masa sama, Mohd Najwan berkata, Selangor juga akan mempertimbangkan untuk mengadakan latihan untuk beberapa jenis bencana alam lain.
"Tahun lalu, kami adakan program latihan di Ampang Pecah dekat Kuala Kubu Baru dengan memfokuskan bencana banjir.
"Jika bencana alam berlaku, sekurang-kurangnya kita sudah bersedia," katanya.
Lokasi panas tanah runtuh
Pada Disember 2021, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melaporkan bahawa, terdapat 38 kawasan di Selangor yang didapati terdedah kepada tanah runtuh, dengan tujuh daripadanya diklasifikasikan sebagai kritikal.
Pada 16 Disember 2022, tanah runtuh di tapak perkhemahan dekat Batang Kali dilapor meragut 31 nyawa dan lapan daripada cedera.
Pada 10 Mac tahun sama, satu lagi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang mengorbankan empat nyawa, memusnahkan 15 rumah dan 10 kenderaan.
Bencana paling dahsyat dikatakan berlaku pada Disember 1993, apabila salah satu daripada tiga blok kediaman 12 tingkat Highland Towers di Hulu Kelang runtuh dan mengorbankan 48 nyawa.
Kira-kira 500 anggota penyelamat dari Singapura, Jepun, Perancis, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat turun padang bagi operasi mencari mangsa.
Tragedi ini kemudian membawa kepada penubuhan Smart pada 1 Ogos 1995, menurut maklumat yang diterbitkan di laman web Nadma.
"Insiden Highland Towers mendedahkan kelemahan Malaysia dalam menangani tanah runtuh besar kerana ia memaksa kami untuk mendapatkan bantuan daripada negara lain.
"Smart diberi amanah untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta menyediakan peralatan yang diperlukan," menurut Nadma.
Smart kali pertama diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebelum Kabinet memutuskan untuk meletakkannya di bawah Nadma pada 1 Oktober 2015.
Insiden Highland Towers mendedahkan kelemahan Malaysia dalam menangani tanah runtuh besar kerana ia memaksa kami untuk mendapatkan bantuan daripada negara lain
Pandangan berharga dari peserta
Sementara itu, peserta program latihan simulasi tersebut memberi gambaran mengenai kesukaran yang dihadapi ketika operasi menyelamat, yang mana ia adalah berbeza berbanding skop kerja hakiki mereka.
Menurut Shahrul Jailani yang berkhidmat di Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Sepang, program itu merupakan platform untuk membina hubungan dengan rakan sejawatan pihak berkuasa tempatan yang lain.
"Kami juga mengetahui perkara yang perlu dilaporkan di pos kawalan, yang biasanya disediakan untuk menyelaraskan operasi dan melaporkan keadaan semasa.
"Ia berbeza dengan tugas hakiki saya bersama Pantas, yang mana kami biasanya menangani bencana banjir dan pokok tumbang," ujarnya.
Dalam pada itu, penyelaras skuad Pantas Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd Shahdan Mohd Zakaria berkata, latihan itu juga akan menjadi panduan aliran kerja di lokasi bencana.
"Biasanya tapak (bencana) dibahagikan kepada tiga zon - hijau, kuning dan merah - bergantung kepada tahap bahaya.
"Kakitangan majlis tempatan biasanya terhad kepada zon hijau dan kuning," katanya.
Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang pada Mac 2022 mengorbankan empat orang dan memusnahkan 15 rumah dan 10 kenderaan.
Menurut dokumen soalan lazim (FAQ) yang disediakan Nadma, hanya penyelamat yang memiliki kepakaran khas dibenarkan berada di zon merah.
Zon kuning pula biasanya merupakan lokasi di mana pos penyelamat didirikan.
Kebenaran daripada komander operasi bencana, yang biasanya merupakan pegawai tinggi polis diperlukan sebelum seseorang boleh memasuki zon merah dan kuning.
Zon hijau menempatkan pusat kaunseling, pemindahan mangsa serta khemah petugas media.
Penolong penguat kuasa di Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Abd Gafar Mohamed Amzah berkata, latihan berkenaan meningkatkan pengetahuannya mengenai misi bantuan.
"Kami mengetahui tentang peralatan yang digunakan dan skop kerja agensi lain seperti pasukan perubatan," katanya.
Menurut Abd Gafar, beliau sudah terlibat dalam beberapa misi bantuan termasuk bencana banjir yang melanda Baling, Kedah.
"Dalam misi sebelum ini, saya menyokong agensi kerajaan lain dengan mengagihkan bekalan kepada mangsa dan melakukan pembersihan.
"Latihan ini juga mengajar saya bagaimana untuk menjadi responden pertama," katanya sambil menambah bahawa para peserta turut dilatih dalam pelbagai teknik menyelamat.
Pegawai penguat kuasa di unit pengurusan bencana Selangor, Mohammad Hazizi Mohamad Khalid berkata, pihaknya kebiasaannya merekodkan panggilan kecemasan dan menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.
"Namun, kami ada kalanya menjalankan operasi di darat termasuk ketika banjir dan tanah runtuh," katanya yang turut berbangga kerana diberi peluang untuk melakukan kebaikan. — The Star/FARID WAHAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram