[VIDEO] Masih sesak lepas 6 jam, saksi dakwa ada mangsa tersepit kemalangan di Lebuhraya PLUS dekat Ainsdale


  • Massa
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Tangkap layar kemalangan di Lebuhraya PLUS arah utara dekat Ainsdale dekat Seremban pada Jumaat.

BEBERAPA pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Ainsdale dekat Seremban, Negeri Sembilan dipercayai cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan dua lori dan lima kereta di pada Jumaat.

Rata-rata orang awam yang melalui lebuh raya berkenaan turut berkongsi insiden kemalangan tersebut dalam sosial media masing-masing.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan seorang pengguna Telegram mendakwa, kemalangan tersebut masih lagi menyebabkan kesesakan lalu lintas.

BACA LAGI: [VIDEO] Titik buta dipercayai punca penunggang maut digilis treler di Lebuh Raya Pasir Gudang

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal termasuk laluan kontra, penunggang Suzuki maut motor melambung jauh bertembung Perodua Kancil di Pontian

"Bertabahlah kepada sesiapa yang nak lalu Ainsdale, keadaan jalan masih lagi sesak. Ada kereta yang remuk teruk dan orang awam yang cedera.

"Semoga dipermudahkan mangsa yang terlibat. Nampak ada mangsa yang tersepit dalam kereta hitam tadi itu," tulisnya.

Melalui salah satu video yang dikongsikan kelihatan sebuah kenderaan remuk teruk dan beberapa anggota bomba sedang melakukan usaha menyelamat.

PLUS melalui satu hantaran di laman media sosial berkata, kemalangan itu turut menyebabkan trafik sesak sepanjang kira-kira 10 kilometer

"Kejadian dipercayai berlaku pada 7.18 pagi Jumaat. Keadaan trafik dari selatan menghala ke ibu negara masih perlahan," tulisnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata kemalangan jam 6.50 pagi itu dipercayai berpunca daripada sebuah lori yang terbabas ke lorong kanan selepas hilang kawalan.

"Dua parah manakala empat lagi cedera ringan dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 274.9, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran Ainsdale pagi tadi.

"Dua yang parah itu dikenalpasti sebagai pemandu serta penumpang kenderaan Perodua Ativa dan mereka dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian sebuah lori jenis Daihatsu yang dipandu seorang lelaki berumur 74 tahun bersama kelindan berumur 60 tahun sedang dalam perjalanan dari Tampin menghala ke Kajang, Selangor.

"Apabila sampai di KM274.9, lori berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram