Lebih 500 remaja, kanak-kanak perempuan seawal usia 10 tahun hamil luar nikah di Selangor


  • Primer
  • Khamis, 21 Nov 2024

Sebanyak 555 kes hamil luar nikah membabitkan kanak-kanak semuda 10 tahun dan remaja di seluruh Selangor, setakat September lalu. — Gambar Hiasan

STATISTIK menunjukan sebayak 555 kes hamil luar nikah membabitkan kanak-kanak semuda 10 tahun dan remaja di seluruh Selangor, setakat September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Anfaal Saari memetik laporan Buletin TV3 berkata, statistik itu diperoleh daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk tempoh antara Januari hingga September lalu.

"Statistik remaja hamil luar nikah bagi negeri Selangor untuk 2023 adalah 799 kes, manakala setakat September lalu mencatatkan 555 kes.

BACA LAGI: [VIDEO] Kami reda kehilangan Naura, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya — Ayah saudara

BACA LAGI: ‘Mummy, saya sangat sakit’, kata-kata terakhir mangsa dihempap kontena di Bukit Mertajam kekal menghantui ibu sampai bila-bila

"Bagi pecahan kategori mengikut umur, sebanyak 13 kes bagi individu berumur 10 hingga 14 tahun, 15 hingga 17 tahun (157 kes) dan 18 hingga 19 tahun (385 kes).

"Kerajaan negeri memandang serius isu ini terutama apabila melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun,” katanya ketika Penggulungan Usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Anfaal : The state government will carry out a research to assess the current needs and predicaments of the elderly.

Anfaal Saari

Jelas Anfaal lagi, tahun ini kerajaan negeri sudah melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Program ini bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak dalam aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak daripada gangguan seksual.

"Program ini sudah dilaksanakan 12 siri iaitu 11 di sekolah semua daerah di negeri Selangor, manakala satu di program di Pusat Aktiviti Kanak-kanak PPR HICOM," katanya.

Beliau berkata, bagi mendapatkan maklum balas dan merangka cadangan solusi lebih komprehensif bersama pelbagai pemegang taruh, kerajaan negeri memulakan rangka kerja awal bagi melaksanakan perbincangan meja bulat Menangani Isu Remaja Hamil Luar Nikah.

"Ini akan dilaksanakan pada suku pertama 2025 melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama JKM negeri dan Persatuan Kebajikan Bayt Al-Rahmah," katanya.

Selain itu kerajaan negeri melaksanakan Program KASIH Keibubapaan Digital dengan kerjasama LPPKN Selangor bagi mendedahkan ibu bapa dengan pengetahuan dan kemahiran.

"Usaha ini bertujuan mendidik anak-anak mengenai kaedah penggunaan teknologi digital selamat serta melindungi anak-anak dari pengaruh media sosial yang tidak sihat.

"Terdapat 10 siri dilaksanakan di seluruh daerah dan 300 peserta daripada kalangan ibu bapa mendapat manfaat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram