PELAKSANAAN inisiatif dapur awan yang dikenali sebagai Dapur Digital kini membuahkan hasil selepas ia berjaya untuk meningkatkan jualan terhadap 50 jenis makanan yang diusahakan oleh peniaga daripada kumpulan berpendapatan rendah.
Projek Dapur Digital beroperasi sebagai kemudahan penyediaan makanan dan hab ekonomi untuk membolehkan usahawan mikro memanfaatkan teknologi untuk meluaskan jangkauan pasaran mereka melalui platform digital seperti GrabFood, ShopeeFood dan FoodPanda.
Projek perintis terbabit merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Yayasan Khazanah Nasional Bhd, Yayasan Hasanah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan perusahaan sosial, Pepper Labs.
Terdapat lima dapur awan yang digerakkan di lot komersial di empat projek perumahan rakyat (PPR) dan satu perumahan awam (PA), iaitu PPR Wangsa Sari, PPR Intan Baiduri, PPR Kampung Limau, PPR Kerinchi dan PA Setapak Jaya 1A.
Jabatan Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, beberapa dapur yang beroperasi itu dianggarkan menjana pendapatan bulanan sehingga RM10,000 sejak dibuka pada Februari lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, projek terbabit melibatkan 50 wanita termasuk ibu tunggal dan belia.
Sebanyak 50 wanita termasuk ibu tunggal terlibat dalam inisiatif projek Dapur Digital.
“Kami telah mencipta ekosistem untuk memastikan wanita ini terus berkembang maju.
“Kami bukan sahaja membantu mereka dengan bantuan kewangan dan logistik, tetapi juga menyediakan latihan dalam masakan, pengurusan perniagaan dan teknologi makanan,” katanya ketika melancarkan Dapur Digital di PPR Wangsa Sari di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Secara asasnya, dapur awan merupakan tempat persediaan makanan yang diwujudkan untuk menyokong aplikasi penghantaran dari rumah.
Ia didefinisikan sebagai restoran tanpa dapur yang tidak boleh diakses oleh orang awam dan terletak di kawasan perindustrian berbanding pusat komersial perniagaan.
Perkembangan kewujudan dapur awan yang mula berlaku ketika pandemik Covid-19 antara lain dibantu kerana kaedah terbabit dilihat lebih kos efisien dan menyediakan keuntungan lebih berganda.
Situasi itu menyebabkan lebih ramai pengusaha makanan mula mengadaptasi konsep berkenaan.
Antara peserta yang terlibat dalam program Insiatif Dapur Digital.
Pada masa sama, pelaksanaannya juga dilihat bergerak selari dengan kemajuan pendigitalan perniagaan memandangkan urusan jual beli dilakukan secara dalam talian menggunakan satu aplikasi yang turut menghubungkannya bersama dapur awan lain.
Salah seorang peserta dalam projek terbabit yang juga ibu kepada sembilan orang anak Rahimah Raja Mohamed, 40, dari PPR Kampung Limau, merupakan penjual sambal botol dan aneka kuih Melayu.
Rahimah berkata, dapur awan menyediakan ruang kerja yang selesa berhampiran dengan rumahnya.
"Saya boleh berehat sebentar dari dapur untuk memeriksa anak-anak saya dan mereka juga tahu di mana untuk mencari saya," katanya.
Seorang lagi penerima manfaat Zariah Ali, 53, dari PPR Intan Baiduri berkata, mereka yang dipilih untuk projek itu bersyukur kerana berpeluang menjangkau jumlah pelanggan yang lebih luas.
“Saya antaranya menjual nasi lemak pandan antara lain.
"Dengan dapur awan, saya bukan sahaja mendapat pelanggan dari kawasan berhampiran tetapi juga mereka yang jauh," katanya. — The Star/VIJENTHI NAIR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram