KERAJAAN sedang mengusahakan model yang lebih cekap dan mampan buat pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk jangka panjang.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata inisiatif itu melibatkan kementeriannya, Unit Pemantauan Awam Kementerian Kewangan, dan PTPTN.
Pada masa sama, beliau juga menyatakan keadaan ekonomi semasa juga menyukarkan untuk mengetepikan hutang PTPTN bagi mereka yang belum membayar balik pinjaman tersebut.
"Memang sukar memandangkan komitmen kerajaan yang besar dan kita juga mesti mempertimbangkan mereka yang sudah membayar," katanya kepada Ahli Parlimen Jempol (BN), Datuk Shamshulkahar Mohd Deli di Dewan Rakyat semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal pergi ke tandas ketika Subuh, lelaki maut dibaham harimau di Gerik
Beliau berkata setakat ini, kira-kira RM76 bilion pinjaman telah dibayar balik dengan wang itu digunakan untuk pinjaman kepada pelajar lain.
Mekanisme pembiayaan kini telah memberi ruang seluas mungkin kepada peminjam untuk menstrukturkan jadual pembayaran balik mereka mengikut kapasiti dan perancangan kewangan masing-masing.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Malahan Shamshulkahar berkata PTPTN juga telah menghentikan tindakan penguatkuasaan bagi pembayaran balik pinjaman seperti larangan perjalanan ke atas peminjam sejak Jun 2018.
"Ini termasuk peminjam diberi tempoh tangguh selama 12 bulan selepas tamat pengajian sebelum mereka perlu mula membayar balik pinjaman mereka.
“Selepas 12 bulan, sekiranya peminjam masih belum memperoleh pekerjaan atau pendapatan mereka boleh memohon untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman maksimum dua tahun,” katanya.
Peminjam yang ingin melanjutkan pelajaran juga dibenarkan menangguhkan bayaran balik sehingga tamat pengajian, tambahnya.
"Bagi peminjam yang mempunyai pendapatan tetapi tidak dapat membuat bayaran balik mengikut jadual, PTPTN menyediakan saluran perundingan untuk menasihati penstrukturan semula kaedah pembayaran," katanya. — The Star/HO JIA WEN, MARTIN CARVALHO dan GERARD GIMINO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram