'Saya bagi semua duit simpanan RM15,000', bos Mydin kongsi kisah sokongan rakan sejati bangunkan perniagaan


  • Bizz
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Ameer (kiri) berkata, perkara yang menyelamatkannya ketika usahanya bagi membina perniagaan adalah persahabatan sejati yang dibina bersama rakannya.

USAHA bagi membina sesebuah perniagaan bukan satu perkara yang mudah.

Melalui proses tersebut, pelbagai rintangan dan cabaran dihadapi oleh seseorang usahawan khususnya dalam meneruskan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Cubaan boleh datang dalam pelbagai cara. Daripada isu kekangan modal, krisis ekonomi sehinggalah kesilapan percaturan dalam memilih rakan kongsi.

BACA LAGI: 'Ia bagaikan jodoh', niat asal cuma nak bayar PTPTN, bekas jaguh gimnas negara guna bakat buka bisnes

BACA LAGI: Sakit kulit dihidapi jadi ilham Sarah bina Cuura, muncul jenama produk kulit sensitif dipercayai pengguna

Dalam proses berkenaan, ada antaranya berjaya manakala tidak kurang pula ramai yang terkandas di tengah jalan.

Kesemua cabaran tersebut merupakan sesuatu pasti dilalui hampir semua usahawan termasuk buat syarikat pemborong dan peruncitan bumiputera ternama di dalam negara iaitu Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin).

Namun, bagi Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, apa yang menyelamatkannya ketika tempoh tersebut adalah persahabatan sejati yang dibinanya bersama seorang rakan ketika kedua-duanya mula bekerja.

Berkongsikan kisah yang berlaku kira-kira 40 tahun lalu itu, Ameer berkata, dia pada awalnya pernah membantu seorang rakannya yang ketika itu memerlukan duit.

"Saya mempunyai seorang rakan yang pada waktu itu kami dia selalu naik motosikal bersama-sama untuk pergi kerja. Pada suatu waktu, dia memerlukan duit. Saya keluarkan semua duit saya RM15,000.

"Pada waktu itu, 40 tahun lepas, ia adalah satu jumlah yang sangat besar. Jadi bila saya bagi dia duit itu, saya cakap dengan dia, tolonglah nanti bayar semula, itu adalah hidup saya," katanya.

Interview Datuk Wira Ameer AliAZHAR  MAHFOF/The Star (17/8/2020)

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Ameer berkata, rakannya yang tidak dinamakan itu kemudiannya mengotakan janji dengan memulangkan semula duit yang dipinjamkan.

"Dia tanya ada bunga, saya cakap tidak perlu, itu riba," ujarnya.

Beberapa tahun kemudian, Ameer berkata, syarikatnya memerlukan kewangan bernilai hampir RM1.8 juta untuk membeli sebuah kedai yang terletak di Masjid India, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada waktu itu, pihaknya tidak mempunyai sokongan kewangan yang kukuh meskipun memiliki keupayaan bagi membayar pendahuluan sebanyak 20 peratus yang diperlukan bank untuk membuat pinjaman.

"Bank mahukan 20 peratus dan saya ada duitnya. Tapi apa yang berlaku jika saya tidak mendapat pinjaman? Dan rakan saya itu kini sudah menjadi orang yang cukup kaya. Jadi saya pergi jumpa dia, saya kata, saya nak beli kedai RM1.8 juta.

"Saya mempunyai 20 peratus itu. Jika bank menolak wang itu, saya kehilangan 20 peratus saya. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, (saya minta tolong dia) boleh tak? (untuk bantu).

"Kemudian dia kata, 'awak beri saya RM15,000, ingat?' Saya kata, ya, tetapi ini RM1.4 juta. Dia kata, 'saya ada untuk awak'," kongsi Ameer.

Menurut Ameer, rakannya itu juga turut melakukan perkara yang sama ketika syarikatnya membeli sebuah bangunan bernilai RM18 juta beberapa tahun kemudian.

"(Pada waktu itu) Saya kata, kalau-kalau (memerlukan bantuan kewangan). Dia kata 'jangan risau, saya ada'.

"Walaupun ketika itu saya tidak memerlukannya, tetapi sokongan itu, saya fikir ia cukup memberikan suatu perbezaan," ujarnya.

Perkara itu dikongsikan Ameer menerusi satu program audiosiar debonair_podcast yang disiarkan baru-baru ini.

Tip Ameer buat usahawan yang mahu berjaya

Dalam pada itu, menerusi program sama, beliau turut berkongsikan tip penting kepada mereka yang mahu menjadi usahawan.

Pertama, Ameer berkata, seseorang usahawan perlu sentiasa melakukan amalan berjimat dengan setiap perbelanjaan yang dilakukan untuk memastikan perniagaan mereka dapat berkembang dengan lebih mapan.

"Dua kari ikan, dibungkus berasingan. Anda akan mendapat banyak kari. Itulah makan malam anda dan untuk sarapan anda. Jadi anda lihat, ini akan menjimatkan wang," ujarnya.

SEREMBAN, 17 Ogos -- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (kanan) mendengar taklimat ringkas mengenai risalah harga barangan promosi oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin (dua, kiri) pada majlis pelancaran Semarak Gemilang Malaysia MADANI OHMYDIN! Meriah Bersama sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2023 dan Ulang Tahun Mydin ke-66 di Mydin Mall, Seremban 2, hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Setakat Jun 2024, Mydin dilaporkan mempunyai sebanyak 69 cawangan pasar raya di seluruh negara.

Kedua, beliau berkata, seorang individu yang mahu memiliki perniagaan kukuh juga perlu memiliki pengalaman kerana tiada pengganti untuk mempelajari perkara tersebut.

Menurut Ameer, dia dan keluarganya tidak pernah membenarkan anak-anaknya untuk terus bekerja di syarikatnya.

"Kami mahu mereka pergi ke luar dan bekerja di tempat lain (untuk mencari pengalaman)," katanya.

Ketiga, Ameer berkata, seseorang usahawan juga perlu membuat keputusan yang betul-betul berhemah kerana ia sangat penting untuk membina asas yang kukuh bagi sesebuah perniagaan.

Keempat, beliau berkata, usahawan juga perlu sentiasa menanamkan kesedaran untuk sentiasa memberi sebelum memperoleh sesuatu.

"Semua duit yang anda miliki, apa gunanya kalau tak untuk membantu orang lain," ujarnya.

Terakhir, menurut Ameer, individu yang mahu menjadi usahawan yang hebat perlu benar-benar menguasai bidang perniagaan yang mahu dijalankannya.

Ujarnya, usahawan yang baik harus mempunyai keupayaan untuk sentiasa belajar dan memberikan yang terbaik sebelum mendapat kejayaan yang diinginkan.

"Anda tanya mana-mana pemilik restoran mamak, dia pasti tahu membuat roti canai. Kerana jika pembuat roti canai tidak hadir anda akan melihat pemiliknya melakukannya.

"Ini kerana restoran akan ditutup, jika tiada pembuat roti canai. Jadi anda tidak boleh berhenti belajar," katanya.

Setakat Jun 2024, Mydin dilaporkan mempunyai sebanyak 69 cawangan pasar raya di seluruh negara, sekali gus terus mengukuhkan kedudukan sebagai pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan di Malaysia.

Untuk rekod, sejarah perniagaan Mydin dimulakan oleh bapa Ameer iaitu Mydin Mohamed Ghulam Hussein yang menjual pelbagai barangan di kaki lima dan dari sebuah kedai kayu kecil di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan.

Perniagaan berkenaan kemudiannya dikembangkan abang kepada Mydin, Datuk Murad Ali Mydin dengan membuka kedai kayu kedua di Kuala Terengganu pada 1979 sebelum ia akhirnya berkembang menjadi rangkaian pasar raya dengan nama Mydin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram