PENCAPAIAN deposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sentiasa menunjukkan peningkatan membanggakan yang membuktikan bahawa Simpan SSPN terus kekal relevan sebagai produk simpanan terbaik yang berdaya saing di negara ini.
Sehingga 31 Ogos 2024, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM18.85 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 6.54 juta.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran jumlah deposit sebanyak RM220 juta pada Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024.
BACA LAGI: Peminjam PTPTN kembali bernafas ada peluang ‘bersih’ nama, rancang kewangan ikut kemampuan
BACA LAGI: Potongan gaji bayar PTPTN boleh dibuat secara online
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi kutipan deposit dalam tempoh enam tahun penganjuran BMS sejak dianjurkan buat pertama kali pada 2018.
"Tahun ini, genaplah dua dekad usia Simpan SSPN. Tempoh ini bukanlah satu fasa yang singkat. Saya optimis BMS 2024 akan mencatatkan kutipan deposit Simpan SSPN yang luar biasa.
"Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama oleh pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan," katanya ketika majlis pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) di MyTown Shopping Centre Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.
Norliza (dua dari kiri) menyerahkan replika kad berjumlah RM10,000 kepada pemenang utama Cabutan Siri WOW! Kasih.
Penganjuran BMS 2024 juga adalah bersempena dengan sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
Turut hadir, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Mohd Asri Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful, Mohamad Farhan Mohd Fawzi, Ketua Pegawai Eksekutif Elite Definition Sdn Bhd dan Pengurusan Kanan PTPTN.
Yang menariknya, pelbagai keistimewaan dan manfaat ditawarkan buat masyarakat Malaysia yang membuat Simpan SSPN.
Antaranya adalah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.
Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.
Dengan adanya program BMS 2024, ibu bapa mampu menjadi adiwira atau 'superhero' kepada anak-anak mereka dalam membantu perancangan kewangan sewaktu mengikuti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi.
Untuk rekod, BMS merupakan program signatur PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.
Program bermula di peringkat nasional pada 26 hingga 29 September 2024 dengan majlis pelancaran pada 28 September 2024 yang turut diadakan serentak di seluruh negara.
BMS 2024 kali ini bertemakan Fantasi bersempena Hari Impian Sedunia yang disambut pada 25 September setiap tahun dan mengekalkan tagline 'Jom Jadi Superhero Anak Anda'.
Tema tersebut mengangkat idea dan kreativiti untuk merangsang daya imaginasi dan perkembangan fikiran kanak-kanak bagi meneroka ilmu dan pengalaman baharu serta menyerlahkan potensi mereka.
Juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN 2024 menerima replika kad berjumlah RM3,750 daripada Norliza (berdiri lima dari kanan).
Bahkan tema itu juga sangat signifikan dengan moto PTPTN ‘Peluang Kejayaan Anda’ iaitu memenuhi impian anak-anak untuk mengecapi kejayaan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan membuat persediaan kewangan yang baik.
Ia sekali gus dalam mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, PTPTN e-Sport Challenge (Mobile Legends: Bang Bang), Simpan SSPN Got Talent, Jenga Family Competion Simpan SSPN, Baby Merangkak Race, Kuiz Kahoot! Simpan SSPN, penampilan khas Didi & Friends dan P&T, selebriti jemputan dan banyak lagi.
Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2024, penyampaian hadiah pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 (Kategori Cabutan Siri WOW! Kasih), penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Action Song Simpan SSPN dan tayangan lagu korporat PTPTN yang diberi nafas baharu, seiring dengan perkembangan industri muzik.
Penjenamaan tersebut adalah selari dengan usaha PTPTN untuk meningkatkan imej positif dan kekal relevan di mata masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda.
Orang ramai yang berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang untuk mendapatkan tabung edisi khas BMS dan cenderahati eksklusif yang menarik melalui penabungan dalam Simpan SSPN.
PTPTN yakin usaha berkenaan akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara.
Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2024, layari www.ptptn.gov.my/BMS2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram