PENGUMUMAN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Sabtu menerima pelbagai reaksi selepas memperkenal kempen penstrukturan pinjaman dengan kadar serendah RM300.
PTPTN memaklumkan kempen itu diperkenalkan sebagai inisiatif menggalakkan lagi peminjam untuk menyelesaikan pembayaran mereka yang tertunggak.
Ia secara tidak langsung membuatkan orang ramai sekali lagi membangkitkan isu tentang pemansuhan bayaran balik PTPTN yang pernah diperjuangkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Adam Adli.
Adam Adli pernah mengadakan demonstrasi di ibu kota bersama mahasiswa lain untuk menuntut pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN pada 2012.
Tidak kurang juga apabila ada segelintir warga maya yang meluahkan rasa hampa kerana tiada sebarang kenyataan memaklumkan tentang pemansuhan.
"Ku sangkakan hapus PTPTN, rupa-rupanya penjadualan semula," komen Radzi Rahim.
Mengulas lanjut, pengguna Facebook Nik Kamal Kamal Faizi berkata bahawa kadar bayaran sebanyak RM300 itu perlu dipertimbangkan lagi kerana tidak selari dengan semua kemampuan peminjam.
"RM300 tu di luar kemampuan tuan kalau gaji RM1,500, RM150 mungkin boleh dipertimbangkan...," luahnya.
Kadar bayaran tunggakan dikenakan serendah RM300 kepada peminjam PTPTN. — Gambar hiasan
Namun, di sebalik keluh kesah itu, ada juga yang dilihat berfikiran lebih rasional dan positif tentang pelaksanaan kempen PTPTN tersebut.
"Alhamdulillah ada Unit Trust. Simpan situ sikit-sikit sejak anak lahir, dapat dividen setiap tahun. Baru faham pentingnya ada simpanan berbentuk pelaburan ni," kata Adilyas My.
"Kalau mansuh yang lama macam mana dengan pinjaman yang baru, ramai peminjam gaji beribu ribu sekarang sila bayar untuk beri peluang orang baharu melanjutkan pelajaran ke menara gading," ujar Gadong Jawi.
Sementara itu, PTPTN memaklumkan, kempen itu berjalan selama dua bulan bermula 1 Jun lepas hingga 31 Julai malah ia terbuka kepada semua peminjam yang mempunyai tunggakan sama ada pinjaman konvensional atau ujrah.
Menurut PTPTN, peminjam perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram