Dedikasi lebih 4 dekad jaga orkid, pesara TUDM bela lebih 1,000 tumbuhan siap jana 'side income'


  • Bizz
  • Khamis, 21 Nov 2024

Khor yang juga bekas juruteknik radio di TUDM dari 1961 hingga 1983 itu membangunkan koleksi besar tumbuhan orkid daripada keluarga Orchidaceae.

SAMA seperti dedikasinya ketika berbakti bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama kira-kira dua dekad, pesara, Robert Khor kini turut komited menjaga koleksi tumbuhannya terdiri daripada lebih 1,000 pokok orkid.

“Setiap pagi, saya menjaga tanaman saya, menyiramnya dan sekali-sekala menanam semula. Selama bertahun-tahun, saya juga telah menguasai seni pembiakan orkid, yang kadangkala saya jual kepada rakan-rakan untuk sedikit pendapatan tambahan,” kata Khor, 84.

Bekas juruteknik radio yang bekerja di TUDM dari 1961 hingga 1983 membangunkan koleksi besar tumbuhan orkid daripada keluarga Orchidaceae meliputi varieti antaranya Spathoglottis, Dendrobium, Phalaenopsis, Oncidium, Vanda dan Cattleya.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Ia merupakan satu pekerjaan yang menjadi kecintaannya sejak 46 tahun lalu.

“Saya bertuah kerana saya dapat menyentuh dan mengembangkan sesuatu yang saya suka. Saya tidak bersukan atau minum minuman keras, jadi semua masa terluang saya tertumpu kepada tanaman saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Bungah George Town, Pulau Pinang.

Orchid collector Robert Khor, 84, tending to his orchid at his home in Hillside, Tanjung Bungah. (  ( April 03, 2024 )   — LIM BENG TATT/The Star

Pekerjaan menanam tumbuhan orkid sudah menjadi kecintaan Khor sejak 46 tahun lalu.

Kecintaan Khor terhadap berkebun dan orkid bermula sejak 1978 lagi.

Ketika itu, beliau terlibat secara aktif dalam Persatuan Orkid Persekutuan Tanah Melayu (Fomos) Pulau Pinang, di mana beliau berkhidmat dalam jawatankuasa itu dan sering diamanahkan dengan tugas keselamatan semasa pertunjukan orkid.

“Saya juga seronok menyertai pertandingan orkid tempatan. Banyak orkid saya menerima anugerah. Terbaharu, orkid tanah saya merangkul hadiah pertama dalam kategori Spathoglottis di Fomos' Earth Day Orchid Show 2024, yang diadakan di Straits Quay Retail Marina bulan lepas,” katanya.

Selepas menamatkan tugas bersama TUDM, beliau bekerja sebagai ketua keselamatan beberapa hotel sebelum bersara apabila mencapai umur 55 tahun pada 1995.

“Saya adalah sebahagian daripada kumpulan perintis pegawai dalam TUDM pada 1961. Saya masih ingat dengan jelas bahawa gaji awal saya bawa pulang berjumlah RM50 sahaja, tetapi pada zaman itu, kos sara hidup adalah sangat rendah, dengan sepinggan char koay teow hanya 50sen.

“Untuk menjimatkan wang, saya menanam sayur sendiri dan menangkap ikan sendiri semasa ditempatkan di Labuan, Sabah. Keluarga saya akan mengikut saya ke mana sahaja saya ditempatkan,” katanya.

Khor berkata ketiga-tiga anaknya telah membina kehidupan mereka sendiri, dengan dua daripada mereka meneruskan kerjaya di luar negara dan yang ketiga berpangkalan di Kuala Lumpur.

Walaupun jauh, mereka akan membuat lawatan berkala untuk pulang bertemu dengannya.

Pasaran orkid negara cecah RM4 bilion

Pada awal tahun ini, Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian Pembangunan Industri Florikultur) Jabatan Pertanian, Mohamad Nizam Malik berkata, orkid Malaysia boleh menyumbang sehingga RM4 bilion setahun kepada industri florikultur berikutan permintaan tinggi dari negara lain.

Bagaimanapun, katanya bagi memenuhi permintaan itu, Malaysia perlu mengusahakan penanaman orkid seluas 120 hektar.

“Pada masa ini, terdapat 50 ladang orkid yang diuruskan oleh pengusaha tempatan telah mengeluarkan hasil, dan kami menjangkakan lebih banyak ladang orkid akan dibangunkan,” katanya dipetik daripada laporan media tempatan.

Beliau berkata, orkid Malaysia mendapat permintaan dari negara seperti Singapura dan Timur Tengah, seperti Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.

Dalam pada itu, pemilik bersama Orkid Eksklusif, yang hanya ingin dikenali sebagai Su berkata, hasil semaian orkid di tapaknya itu biasanya akan dieksport ke Brunei.

6165981713474372775

Orkid Malaysia dilaporkan boleh menyumbang sehingga RM4 bilion setahun kepada industri florikultur berikutan permintaan tinggi dari negara lain. — Gambar hiasan

Bagaimanapun, beliau berkata, permintaan daripada negara terbabit didapati agak perlahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kongsinya, orkid juga mengambil masa yang lebih lama untuk tumbuh berbanding tumbuhan hiasan lain.

"Ia juga mengambil masa dan usaha untuk membiak orkid hibrid yang sihat dan konsisten daripada segi kualiti," katanya sambil menambah bahawa banyak penjual bunga Malaysia mendapatkan orkid dari Thailand.

Beliau juga berkata, orkid phalaenopsis popular dalam kalangan orang muda dan lebih banyak usaha diperlukan untuk mempromosikan jenis orkid lain.

Presiden Fomos, Tony Tan berkata, Malaysia mempunyai spesies orkid terbanyak di dunia terutamanya di Sabah dan Sarawak.

"Malangnya, kita telah ketinggalan dalam menanam orkid hibrid baharu dan mengeksport orkid," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan orkid yang dijual secara komersial adalah varian hibrid berbanding spesies aslinya, kerana terdapat lebih banyak variasi dalam warna dan corak. — The Star/BERNARD SEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram