SEKITAR 2021, keluarga Muhammad Rusydi Baharudin, 25, membeli sebuah tanah hutan seluas satu ekar di Kuala Klawang, Negeri Sembilan untuk diusahakan menjadi kebun.
Pada awalnya, mereka merancang memfokuskan menanam durian bermula dengan 25 pokok.
Bagaimanapun, lokasi kebun tersebut yang terpencil dan agak jauh daripada tempatnya menetap memaksa mereka berulang-alik sejauh 30 kilometer bagi menguruskan tanah tersebut.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Perkara itu mendatangkan kesukaran terhadap Muhammad Rusydi dan bapanya yang perlu bekerja bagi mengoperasikan perniagaan butik pakaian mereka yang terletak di Seremban.
"Biasalah bila kita buka kebun, dia punya perasaan itu macam setiap hari nak datang ke kebun. Ada waktu itu memang setiap hari kami pergi. Kadang-kadang itu dah pukul 6 dan 7 petang pun nak pergi juga," katanya kepada Majoriti.
Kolam penternakan ikan yang dibangunkan di kebun milik keluarga Muhammad Rusydi.
Bertitik tolak dari situ, Muhammad Rusydi yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mula mencari cara memudahkan pengurusan kebun terbabit dengan mengambil inspirasi daripada konsep rumah pintar.
"Jadi terfikir waktu itu kalau saya boleh masukkan WiFi dekat kebun ini, saya boleh pasang CCTV. Bila dah pasang kemudahan itu, boleh ayah saya tengok video itu dari rumah dia.
"Jadi kuranglah dia punya perasaan takut kalau-kalau ada orang atau haiwan yang kacau kebun dia," kata Muhammad Rusydi yang juga bertugas sebagai pengurus operasi perniagaan butik pakaian keluarganya.
Disebabkan itu, perkara pertama dilakukannya adalah dengan memasang WiFi solar di kebun untuk kemudahan internet.
Ujarnya, pemasangan WiFi sangat penting kerana banyak automasi di kebun perlu menggunakan internet.
Katanya, dengan mengambil kira keadaan tanah kebun yang berbukit, dia turut mengambil keputusan untuk menggunakan sistem pam ram yang lebih mesra alam dengan berfungsi menerusi graviti tanpa memerlukan bekalan elektrik mahupun bahan api bagi menyalurkan air ke kawasan setinggi 50 meter.
Dengan kemudahan internet yang tersedia, Muhammad Rusydi berkata, dia berjaya mengautomasikan hampir kesemua aktiviti rutin utama di kebunnya seperti pam ram, penyiram pokok automatik dan pemberi makan ikan automatik di kolam yang dibangunkannya kemudian.
"Jadi kalau sebelum ini mungkin kita datang tujuh hari seminggu. Sekarang ini mungkin tiga atau empat kali sahaja datang. Sebabnya kerja-kerja rutin dekat kebun itu kita dah automatikkan," ujarnya.
Lebih menarik, Muhammad Rusydi berkata, dia juga boleh mengawal dan mengawasi operasi di kebun tersebut meskipun ketika berada di luar negeri atau negara untuk urusan perniagaan.
"Jadi, macam ayah saya, kalau dia pergi ke luar negeri, dia biasanya mesti rasa nak balik awal sebab nak bagi makan ikan. Ikan benda hidup, kalau kita tak bagi makan, akan mati pula. Jadi, dia ada perasaan macam itu.
"Tapi sejak pasang pemberi makan automatik dan sebagainya itu, kita dah tak perlu risau dah benda-benda rutin. Tempoh hari waktu kami pergi Indonesia dan Guangzhou, China pun kami boleh pantau kebun.
"Jadi tiada isu selagi tempat yang saya pergi itu ada internet," ujarnya.
Menurut Muhammad Rusydi, pembangunan kebun pintar yang turut dilengkapi dengan pagar elektrik dilakukan secara berperingkat sejak dua tahun lalu dan dianggarkan memerlukan perbelanjaan sekitar RM25,000.
Ujarnya, sebahagian besar daripada kos tersebut adalah bagi membina sebuah rumah kecil di kebun tersebut yang turut membolehkannya menggabungkan kesemua sumber tenaga solar digunakan di kebun terbabit.
Muhammad Rusydi berkata, dia dapat mencatatkan penjimatan yang cukup banyak kerana membangunkan kesemua kemudahan tersebut secara sendiri atau DIY.
"Sebab saya belajar kejuruteraan, jadi saya pun nak pastikan kos yang dikeluarkan itu adalah kos paling efektif. Jadi, pembelian barang itu dibuat setelah dah kaji betul-betul.
"Contoh macam kita nak tarik paip, saya akan kira dahulu sama ada dengan pakai dron atau pengukur. Saya bukan jenis yang beli barang dulu, lepas itu baru pasang," katanya.
Pada masa sama, Rusydi mengakui dalam tempoh dua tahun itu, kebunnya turut berdepan dengan isu seperti serangan haiwan khususnya monyet yang merosakkan kemudahan pintar yang dipasang.
"Pemberi makanan automatik di kebun menjadi tempat kegemaran monyet bergayut. Tapi bila kita sedar apa masalahnya, kita dapat tangani perkara tersebut dengan pemberi makanan yang digunakan sekarang ini adalah prototaip yang keempat," ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Rusydi berkata, kebun diusahakannya itu sememangnya bukan untuk tujuan komersial.
Rusydi bersama alat kemudahan dibangunkan di kebun keluarganya.
Bagaimanapun, katanya, jumlah hasil yang dikeluarkan di kebunnya itu boleh dikatakan agak memberangsangkan terutamanya penternakan ikan yang diusahakan di kolam.
"Contohnya ikan tilapia yang diternak. Pada awalnya saya lepaskan lebih kurang 300 ekor sahaja. Tapi sekarang, jangkaan saya dah beranak cecah lebih 2,000 ekor.
"Jadi, ikan ini pun dah jadi salah satu hasil utama dekat kebun kami. Sebab memang tanam durian pada awalnya. Tapi tahulah durian pun paling awal (berbuah) enam tahun ke lima tahun baru boleh nikmati hasilnya," katanya.
Pada masa sama, Muhammad Rusydi berkata, dia turut menubuhkan satu komuniti di Telegram yang kini terdiri daripada kira-kira 1,300 ahli untuk berkongsikan ilmu berhubung pertanian pintar.
Ujarnya, dia juga menganjurkan kelas perkongsian percuma hampir setiap minggu di platform TikTok yang atau Google Meet yang lazimnya disertai kira-kira 30 hingga 40 orang peserta.
"Kadang-kadang kita ajar mengenai solar, pertanian pintar dan pelbagai lagi perkara.
"Perkara yang paling bermakna adalah apabila saya boleh lihat perkembangan peserta yang diajar ini daripada langsung tak tahu apa-apa sampai ada yang dah boleh buka ladang sendiri dengan sistem pertanian pintar," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram