BAGI kebanyakan orang awam, biji getah yang gugur daripada pokoknya sering kali dilihat bukan sesuatu yang berharga dan dipedulikan.
Malah, boleh dikatakan adalah menjadi satu pemandangan biasa untuk kita lihat ia dibiarkan bertaburan di sekitar ladang pokok getah dan di kawasan perkampungan.
Bagaimanapun, di sebalik tanggapan umum tersebut, ramai sebenarnya tidak mengetahui bahawa biji getah turut mempunyai pelbagai fungsi termasuk diproses sebagai makanan dan dijadikan asam rong yang merupakan bahan penting untuk memasak gulai.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Selain itu, biji getah juga mempunyai manfaat untuk digunakan bagi menghasilkan pokok penanti yang dibekalkan kepada ladang atau pekebun kecil yang menanam getah.
Justeru, disebabkan kepentingannya itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sejak beberapa tahun lalu turut menjalankan kempen kutipan biji getah tempatan di seluruh negara.
Menerusi kempen tersebut, RISDA memberikan peluang kepada orang ramai yang mengumpul biji getah untuk menukarkannya menjadi pendapatan.
Ketua Pegawai Operasi RSSB, Mohammad Rahimi Nordin.
Menurut Ketua Pegawai Operasi RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd (RSSB), Mohammad Rahimi Nordin, penghasilan benih getah yang berkualiti perlu mempunyai pokok penanti yang mempunyai batang dan akar sihat untuk dicantum dengan klon getah yang berkualiti dan terbaik.
"Tujuan Kempen kutipan biji getah diadakan setiap tahun adalah mendapatkan biji getah tempatan untuk penyediaan benih getah bagi Program Tanam Semula RISDA mencapai sasaran," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Mohammad Rahimi berkata, kutipan biji getah tidak berlaku sepanjang tahun kerana musim luruhan biji getah terbahagi kepada dua iaitu musim pertama atau primer pada Ogos hingga Oktober dan musim kedua atau sekunder daripada Februari hingga Mac.
Katanya, musim pertama lebih panjang daripada musim kedua menyebabkan lebih banyak biji getah boleh dikumpul pada musim pertama.
"Berdasarkan kutipan terkini yang kita peroleh bermula Ogos 2024 hingga kini bagi pembekalan tahun 2025 adalah 98 Metrik Tan (MT) iaitu 55 peratus berbanding keperluan ditetapkan untuk tahun ini iaitu 179 MT," ujarnya.
Bagaimanapun, Mohammad Rahimi berkata, pihaknya menerima biji getah daripada pelbagai sumber.
Sementara itu, Mohammad Rahimi berkata, dalam proses pengumpulan biji getah tersebut, RISDA turut menetapkan beberapa kriteria bagi biji yang diterima antaranya segar, berkilat, isi padat dan bersih.
Ujarnya, biji getah yang baru dikutip juga tidak boleh disimpan melebihi satu minggu bagi memastikan embrio di dalam biji berkenaan tidak kering.
Mengulas mengenai pendapatan yang diperoleh oleh pengutip biji getah sukarela di bawah kempen tersebut, Mohammad Rahimi berkata, ia adalah tidak begitu tetap kerana luruhan biji getah yang tidak berlaku sepanjang tahun.
Disebabkan itu, beliau berkata, kempen mengutip getah itu dilihat merupakan alternatif untuk memberikan orang ramai termasuk syarikat pemilik ladang bagi mendapatkan pendapatan tambahan.
Menurut Mohammad Rahimi, musim pertama lebih panjang daripada musim kedua menyebabkan lebih banyak biji getah boleh dikumpul pada musim pertama.
"Secara purata seorang pencari biji getah boleh mencari lebih kurang 300 biji dalam tempoh satu jam. Satu kilogram dianggar bersamaan dengan 150 biji.
"Dalam satu hari, pencari biji getah dianggarkan memperuntukkan empat jam untuk tujuan tersebut menjadikan seseorang individu itu boleh mendapat sebanyak 8kg sekali gus menjadikan pendapatan harian boleh diperolehi adalah sebanyak RM28 dengan setiap kg adalah berharga RM3.50.
"Jika dianggarkan kutipan biji dibuat untuk 20 hari sebulan, anggaran pendapatan sebulan adalah RM560 yang boleh dijana daripada kutipan biji getah ini," ujarnya.
Setakat ini, Mohammad Rahimi berkata, negeri yang mencatatkan jualan biji getah adalah di Perak dan Pahang.
Menurut Mohammad Rahimi, daripada keseluruhan kutipan yang diperolehi RISDA, jualan daripada kaum orang asli adalah merupakan yang tertinggi iaitu 70 peratus daripada keseluruhan biji getah yang diterima oleh pihaknya.
"Kerja kutipan biji ini dilakukan secara sukarela kerana orang asli lebih cenderung untuk mendapat pendapatan secara harian. Selalunya ketua keluarga dan pasangan daripada kumpulan orang asli yang melakukan kerja-kerja ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram