WANITA yang maut pada Selasa sempat bertindak menyelamatkan anak lelakinya sebelum dirempuh dan digilis kereta api di Kampung Petagas, Sabah.
Menurut saksi kejadian, wanita berusia 41 tahun itu menolak anaknya ke tepi landasan dan berusaha membawanya ke tempat selamat sebelum terperosok di bawah kereta api.
Ketua Balai Bomba Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, mangsa, Lena Gabin meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya berusia 11 tahun kehilangan kaki dan cedera parah di lengan serta kepala.
BACA LAGI: Pesona Kawah Ijen: Keindahan dan pengorbanan di sebalik asap belerang
BACA LAGI: Mahir menjahit, wanita KL sambung legasi keluarga hasilkan selimut, cadar guna teknik tampal cantum
Noor Sherriyana berkata, dua beranak ketika itu sedang melintas landasan ketika kereta api menghampiri dan tidak dapat menyeberang tepat pada masanya.
"Mereka dipercayai baru datang dari sekolah anak lelakinya dan berjalan kaki untuk pulang ke Kampung Muhibbah.
"Wanita itu diseret kira-kira 20 meter (m) dari tempat dia dilanggar manakala anaknya ditemui terduduk sambil menangis kesakitan agak jauh," katanya.
Noor Sherriyana berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.58 petang dan tiba di tempat kejadian pada 2.20 petang.
Mereka membantu mengeluarkan mayat wanita itu dari landasan dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut sementara kanak-kanak itu dirawat dan dibawa ke hospital berdekatan.
Sementara itu, siasatan juga kini masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, wanita terbabit dilaporkan maut digilis kereta api ketika dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari sekolah di Kampung Petagas. — The Star/STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram