DUA individu mengalami detik cemas apabila nyaris maut selepas sebuah trak pikap bertindak mengundur secara tiba-tiba dalam kejadian di stesen minyak Petronas di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor, pada Ahad.
Insiden tersebut tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu dimuat naik oleh Komuniti Roda Johor menerusi hantaran di Facebook.
"Menantu saya. ALLAH lindungi dia, sikit lagi sahaja nyaris terkena," tulis kapsyen video tersebut.
Dalam rakaman berkenaan, trak pikap terbabit dilihat mengundur secara mengejut sehingga melanggar sebuah lori yang berada sebaris di belakangnya.
Ketika kejadian, seorang lelaki sedang berdiri berhampiran tempat pam minyak, manakala seorang lagi lelaki masih berada di dalam lori yang dilanggar itu.
Bagaimanapun, lelaki yang berdiri berhampiran pam minyak itu sempat melarikan dirinya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
Susulan kemalangan itu, turut dilihat, bahagian depan lori tersebut mengalami kerosakan teruk sehinggakan lampu hadapan kenderaan pecah dan tercabut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna berasa marah dan kecewa terhadap tindakan pemandu trak pikap itu.
"Kelalaian orang lain, orang lain pula jadi mangsa," kata Elly Ally.
"Banyak betul orang gila sekarang," tulis Tuan Azuan Jaffar.
"Nasib baik pemandu lori tidak ada di situ. Kalau ada, pasti tersepit," tulis Hba Tunisia.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram