HANYA bertugas sebagai pegawai keselamatan di Sekolah Rendah (SK) Padang Rumbia, Pekan, Pahang, siapa sangka Che Hanapi Che Hassan mampu menempuhi kehidupan yang penuh liku dan cabaran.
Lelaki berusia 44 tahun itu ternyata mempunyai kisah menarik dan penuh dengan pengorbanan sepanjang hidupnya.
Masakan tidak, Che Hanapi bukan sahaja suami dan bapa kepada tiga anak kandung, namun juga seorang penjaga enam orang anak yatim piatu.
BACA LAGI: Sekolah 49 murid di Pekan buktikan mampu jadi wakil, harum nama Malaysia di peringkat global
Lebih menariknya apabila dia sanggup menjaga kesemua anak yatim piatu itu dengan hati yang terbuka dan adil seperti darah dagingnya sendiri.
Dalam kesibukannya, dia tetap tidak akan melupakan tugas hakikinya terhadap ahli keluarga tersayang.
Ditanya tentang permulaannya untuk bertindak menjaga enam orang anak yatim piatu, Che Hanapi berkata, ia merupakan aturan atau takdir yang sudah ditetapkan oleh yang Maha Esa.
Katanya, dia mengambil kesemua anak angkat tersebut daripada dua keluarga yang merupakan adik-beradik isterinya.
"Tiga daripada mereka memang dah dijaga oleh isteri sebelum berkahwin dengan saya lagi.
"Jadi, selepas kami berkahwin, tiga lagi anak angkat saya baru kehilangan ibu bapanya," katanya kepada Majoriti.
Che Hanapi bertugas sebagai pegawai keselamatan di SK Padang Rumbia.
Ia sekali gus menjadikan keluarga mereka sebuah keluarga besar dengan sembilan orang anak termasuk anak kandungnya.
Menjadi ketua keluarga dengan jumlah anak yang ramai itu juga bukannya perkara mudah baginya.
Dengan gaji kira-kira RM1,500 setiap bulan, Che Hanapi perlu bijak menguruskan kewangan demi menyara keluarga besarnya itu.
"Kesukaran paling ketara adalah daripada segi kewangan, terutama bila anak-anak semua masih kecil dan memerlukan perhatian sepenuhnya.
"Sebelum anak-anak membesar dan mula bekerja, memang saya bekerja keras lebih-lebih lagi ketika mereka berada di fasa melanjutkan pengajian di peringkat universiti kerana ia perlu kos perbelanjaan yang tinggi.
"Tetapi, Alhamdulillah, kami semua cukup makan sehinggalah ada yang dah bekerja sekarang.
"Apa yang penting adalah teruskan mencari rezeki dan pastikan anak-anak dapat pendidikan secukupnya walaupun kadang-kadang keadaan sedikit mencabar," katanya lagi.
Baginya, menjaga anak yatim piatu merupakan keputusan terbaik pernah dibuat dalam hidupnya.
Keikhlasan dan ketulusan menjaga mereka juga jelas terlihat di wajah Che Hanapi ketika bercerita tentang keluarganya.
Tidak melihat ia sebagai beban, Che Hanapi malah menganggap mereka seperti anak kandung yang perlu dijaga dan dibelai.
"Ibu bapa mereka meninggal dunia dalam pelbagai keadaan yang tragis.
"Ada yang meninggal akibat kanser, lumpuh selepas jatuh pokok dan disebabkan itu, saya rasa mereka memerlukan kasih sayang dan perlindungan.
"Saya pun tidak melihat itu sebagai satu masalah," jelasnya.
Che Hanapi (kanan) yang menjaga enam orang anak yatim piatu dan tiga orang anak kandung.
Selain bekerja sebagai pegawai keselamatan, Che Hanapi juga sebenarnya menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah berkenaan meskipun tidak menerima sebarang bayaran tambahan daripada pihak sekolah.
Tugasnya itu adalah lebih ke arah memberi sokongan kepada pihak sekolah dalam menjalankan program atau aktiviti untuk para pelajar.
Ia menunjukkan bahawa betapa komitednya Che Hanapi bukan sahaja terhadap keluarga, malah kepada komuniti dan pendidikan pelajar sekolah.
Dia percaya bahawa setiap apa yang dilakukan dengan niat baik, ia pastinya akan dibalas dengan ganjaran setimpal.
Menjaga anak-anak yatim piatu secara tidak langsung memberi kesan positif dan peluang untuk meneruskan kehidupan lebih baik.
"Saya tidak pernah meminta balasan. Apa yang penting, anak-anak dapat pendidikan yang baik dan hidup mereka lebih baik daripada sebelumnya.
"Saya hanya harap mereka semua berjaya dalam hidup dan dapat menjaga saya dan isteri di hari tua nanti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram