MELUKIS doodle secara digital semakin popular, terutamanya dengan ketersediaan pelbagai aplikasi reka bentuk pada masa kini.
Sama seperti melukis dengan menggunakan tangan, doodle digital juga bebas dan bersifat lebih spontan.
Manakan tidak, melukis doodle tidak memerlukan perancangan yang rumit, sebaliknya ia lebih kepada mengikuti gerakan tangan sendiri untuk mencipta karya kreatif mengikut imaginasi pemikiran ketika itu.
BACA LAGI: Sibuk kerja 54 jam seminggu, doktor 'kalis kecaman' berlari sambil tolak stroller anak
Atieqah menghasilkan doodle menggunakan elemen buah strawberi.
Bermula dengan melukis secara santai, seorang wanita, Nurul Atieqah Arzemi mencipta populariti tersendiri sebagai 'ratu contest' setelah namanya dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan melukis secara dalam talian bersempena Hari Merdeka baru-baru ini.
Menerusi peraduan anjuran Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Atieqah menewaskan peserta lain dengan karya yang menonjolkan pelbagai elemen Malaysia.
Kemenangan itu juga membolehkannya berpeluang memperoleh hadiah percutian staycation selama 3 hari 2 malam di Sheraton Hotel, Kuala Lumpur.
Atieqah memenangi hadiah percutian staycation selama 3 hari 2 malam di Sheraton Hotel, Kuala Lumpur.
Kali pertama mencuba hasilkan batik menerusi lukisan doodle, Atieqah berkata, dia pada mulanya tidak berencana untuk menyertai pertandingan itu kerana menganggap dirinya mungkin tidak mampu memenangi peraduan itu.
"Tarikh akhir untuk hantar penyertaan iaitu 8 September, waktu itu baru saya mula melukis dan terfikir untuk hantar peraduan ini.
"Siap lukis, cetak, rakam gambar dan muat naik ke media sosial... Kemudian saya baru sedar perlu hantar artwork original ke lokasi penganjur.
"Jadi saya rasa nak putus asa. Tetapi apabila lihat lokasi penganjur itu dekat sahaja, saya ambil keputusan untuk hantar kerana ia tidak jauh pun dari lokasi saya di Ampang.
"Saya pun terus guna khidmat Grab Express. Alhamdulillah tak sampai sejam selamat sampai ke destinasi penghantaran karya seni itu," katanya.
Batik digital yang dilukis oleh Atieqah dalam peraduan Hari Merdeka.
Berbeza berbanding lukisan peserta lain, karya yang direka itu juga mengetengahkan nilai perpaduan masyarakat yang berbilang bangsa di negara ini dengan gambaran yang cukup kreatif.
"Dalam karya itu ada gambar tarian singa yang merujuk kepada kebudayaan masyarakat Cina. Ada lukisan orang Melayu sedang menari zapin.
"Seorang wanita India sedang membuat 'kolam', iaitu tradisi seni masyarakat India dan ada juga gambar orang pakai anyaman daun merujuk kepada masyarakat peribumi," katanya.
Unik dalam mempersembahkan karya, menjadi perkara wajib bagi Atieqah untuk mewujudkan gambar haiwan dalam karya doodle yang diciptanya.
Bekas pembantu veterinar itu berkata, mencampuradukkan lukisan dengan memasukkan unsur fauna dibuat agar mampu memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih menghargai haiwan yang masih belum pupus dalam alam yang serba indah ini.
"Banyak haiwan yang sudah pupus. Bukan manusia sahaja berada di bumi ini, haiwan pun berkongsi kehidupan. Jadi, kita patut sayang haiwan yang masih ada di negara ini seperti Harimau Malaya," katanya kepada Majoriti.
Lukisan Atieqah dalam peraduan Merdeka Day E-Poster Contest oleh Zoo Negara.
Pada Isnin, wanita berusia 29 tahun itu juga dinobatkan sebagai pemenang bagi peraduan Merdeka Day E-Poster Contest yang dijayakan oleh Zoo Negara.
"Saya sayangkan alam, flora dan fauna. Jadi lukisan ini memang salah satu lukisan kegemaran saya," katanya.
Atieqah berkata, dia mengetahui banyak pertandingan yang boleh disertai apabila ramai warganet mulai menyebut (mention) namanya di pertandingan-pertandingan yang sedang berjalan.
"Saya ada sertai group melukis di Facebook. Dari situ kita dapat jumpe ramai penggiat seni yang baik dan tak lokek kongsi ilmu dalam lukisan.
"Selepas itu masing-masing sokong satu sama lain," katanya.
Lukisan doodle dihasilkan oleh Atieqah di tote bag.
Bertanya soal mula menceburkan diri dalam doodle digital, ianya bermula apabila ibunya menghadiahkan sebuah iPad buatnya.
"Ibu saya memang tahu saya minat melukis. Saya anak sulung dan anak perempuan tunggal daripada tiga beradik. Itu yang dimanjakan walaupun sudah kahwin," katanya.
Selepas miliki iPad, dia yang sudah mulai melukis doodle secara free-hand sejak habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai cuba mengembangkan karyanya dengan lukisan menggunakan aplikasi digital.
"Lebih seronok kerana boleh pilih apa-apa warna kita mahu yang tersedia dalam aplikasi," katanya.
Lukisan pertama yang dihasilkan menggunakan Ipad.
Dia yang kini bergelar suri rumah itu juga menjadikan jualan doodle yang direka sebagai sumber pendapatan.
"Saya ambil macam-macam tempahan seperti buat rekaan pelekat, logo, framed doodle digital potret, doodle tote bag dan custom digital potrait tote bag," katanya.
Mendapat sambutan hangat, sudah lebih kurang 100 barangan doodle yang berjaya dijualnya.
Sebuah kedai makanan memilih khidmat doodle rekaan Atieqah untuk papan menu.
Tidak hanya itu, terdapat juga kedai makan berskala kecil yang menggunakan khidmatnya untuk menghasilkan doodle digitalnya di papan menu makanan.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, melukis doodle secara digital juga bermanfaat buat kesihatan mental.
"Anak saya semuanya berada di fasa yang sangat aktif. Seorang umur 7 tahun, 5 tahun, dan yang bongsu 3 tahun... Saya memang sangat sibuk menguruskan mereka.
"Jadinya, saya gunakan waktu malam untuk melukis sambil menyiapkan tempahan yang ada.
"Bagi saya melukis perkara yang 'healing' yang buat saya rasa gembira," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram