[VIDEO] Lebih 1,500 kali buat terjunan udara, Haziq Azlan pupuk keberanian sejak berusia 11 tahun


  • Massa
  • Ahad, 17 Nov 2024

Terjunan udara merupakan antara sukan ekstrem yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal tinggi. — Gambar hiasan/Facebook

SUKAN ekstrem seperti terjunan udara atau skydiving adalah jenis aktiviti luar yang pastinya meningkatkan tahap adrenalin dalam tubuh seseorang itu.

Terjunan udara biasanya dilakukan dari pesawat yang terbang pada ketinggian tertentu dalam beberapa minit sebelum membuka payung terjun untuk mendarat dengan selamat.

Aktiviti itu juga memerlukan keberanian, ketangkasan serta kelajuan kerana ia sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikal si penerjun.

BACA LAGI: Kisah di sebaliknya lebih penting, juruteknologi radiologi Balik Pulau cipta karya seni unik tanam rasa empati

BACA LAGI: Belajar tinggi-tinggi di luar negara bukan alasan 2 graduan tidak tabur bakti di tanah air sendiri

21012021-KUL-base-jump-skydive-pic-courtesy-of-Haziq-Azlan_(1)

Haziq Azlan yang berpengalaman dalam terjunan udara lebih 30 tahun.

Lebih 1,500 kali terjunan udara dari pesawat dilakukan Haziq Azlan cukup menggambarkan keberaniannya yang luar biasa.

Biarpun pemuda berusia 36 tahun itu pernah mengalami kecederaan patah kaki hingga terpaksa berehat selama setahun ia sedikitpun tidak memudarkan minatnya terhadap sukan ekstrem tersebut.

"Kali pertama saya melakukan terjunan udara ketika berusia 11 tahun secara tandem (berpasangan) bersama ayah, Azlan Ismail.

"Sementara itu, terjunan secara solo pula pada usia 13 tahun. Minat ini timbul daripada ayah kerana beliau merupakan orang awam pertama terbabit dalam aktiviti ini pada 1978.

"Ayah antara pasukan pernah dijadualkan membuat terjunan di Kutub Selatan, tetapi misi tersebut gagal. Sebelum itu, beliau menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat lesen membawa orang lain skydive secara tandem.

"Selepas pulang ke tanah air, saya dan ayah melakukan terjunan udara bersama. Itulah kali pertama saya didedahkan dengan aktiviti ini sehingga menjadi hobi," katanya.

6159001343646350582

Haziq (kanan) ketika melakukan terjunan pertama bersama ayahnya (kiri) pada usia 11 tahun.

Ditanya perasaan kali pertama melakukan aktiviti berkenaan di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada ketinggian 8,000 kaki, Haziq menzahirkan sukar untuk menterjemahkan dengan kata-kata.

Tuturnya, perasaan takut itu ada cuma ia hadir kemudian.

"Ayah tidak pernah memaksa. Selepas terjunan pertama bersamanya (ayah), dua tahun kemudian barulah saya yakin melakukan secara solo.

"Dalam tempoh dua tahun itu saya mendalami ilmu melalui kelas dianjurkan ayah kepada orang awam.

"Lazimnya, rasa takut itu timbul apabila memikirkan impak sekiranya payung terjun tidak berfungsi atau adakah arah angin sama seperti terjunan dilakukan sebelum ini?

"Bagaimanapun, perasaan takut ini berjaya diatasi dari semasa ke semasa," jelasnya yang pernah bekerja dalam industri sukan terjunan udara di Thailand.

Dalam pada itu, Haziq yang pernah melakukan terjunan udara di Thailand, Indonesia, Arab Saudi dan Australia itu mengakui bahawa terjunan di Kutub Utara pada 2007 merupakan antara kenangan terindah.

haziq

Haziq tetap menggemari sukan ekstrem itu meskipun perlu mengatasi perasaan takutnya. — Facebook

Tambahan pula ketika itu beliau diberi tanggungjawab menggalas tugas kapten dalam misi Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara Putera Umno.

"Bagi menjayakan eskpedisi tersebut kami menjalani latihan selama tiga bulan.

"Menariknya, saya ditugaskan mengajar kumpulan ‘mat motor’ yang tiada pengalaman dalam sukan ini.

"Alhamdullilah, mereka berjaya melakukan terjunan udara dengan baik," kongsinya.

Bukan sekadar itu, kenangan manis lain yang tidak dapat dilupakannya apabila berpeluang melakukan terjunan udara di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sempena kehadiran bintang popular dari India, Rajinikanth dan Kamal Haasan pada 2018.

Haziq yang mempunyai lesen menjadi tenaga pengajar sukan tersebut berkata, terjunan terbabit dibuat tanpa sebarang latihan.

Mengulas lanjut, Haziq menyifatkan ia juga merupakan sukan yang mahal.

Masakan tidak, kos menyewa pesawat sahaja mencecah RM3,500 untuk sejam.

Kebiasaanya, secara purata tiga jam penerbangan dari Subang, Selangor ke Tekkah, Taiping di Perak antara lokasi dibenarkan membuat terjunan udara.

"Selain itu, saya juga aktif dalam sukan berbasikal dan memanjat batu (rock climbing).

"Namun skydiving berbeza kerana menerusi platform ini, saya mampu menjana pendapatan. Apatah lagi, lesen dimiliki boleh digunakan di seluruh dunia," jelasnya.

Tambah Haziq, impiannya adalah untuk membuat terjunan udara di Dubai, Arab Saudi kerana ia lokasi idaman kumpulan penerjun udara.

Namun begitu, disebabkan kos yang terlalu tinggi, Haziq mengambil keputusan untuk menguruskan Hawk Skydive iaitu kelab aktif melakukan terjunan udara di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram