PADA 2018, Azizul Mohammad Yatim yang juga seorang eksekutif akaun di sebuah syarikat di Lembah Klang membuat keputusan membeli skuter pertamanya jenis Yamaha NVX, didorong oleh minat terhadap kenderaan tersebut.
Sejak itu, dia yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan mula terdedah kepada dunia skuter dan turut aktif menyertai komuniti terbabit.
Pada masa sama, dalam tempoh tersebut, dia juga menyedari mengenai wujudnya kekurangan perkhidmatan pusat bengkel yang khusus dan berpusat buat pengguna skuter di Lembah Klang.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Sebab sebelum ini, kalau kedai itu jual aksesori, dia jual aksesori sahaja. Kemudian kalau baiki, dia tumpu baiki sahaja. Lepas itu kalau skuter ini pula, dia punya servis pun bukan macam motosikal biasa. Lazimnya ambil masa agak lama. Kadang-kadang sampai satu jam.
"Tapi biasanya tempat servis skuter ini bila kita pergi, tempat duduk pun tidak ada. Jadi dekat situ saya nampak kekurangan dan perlunya wujudkan satu pusat sehenti untuk skuter," katanya kepada Majoriti.
Bengkel skuter Azizul dijenamakan semula sebagai SkutaHub pada September lalu. — SkutaHub
Bagaimanapun, idea untuk mewujudkan pusat sedemikian hanya dapat direalisasikan kira-kira empat tahun kemudian menerusi bengkel pertamanya yang mula beroperasi di Pandan Jaya, Kuala Lumpur sekitar Ogos 2023.
Berbeza dengan bengkel lain yang wujud pada ketika itu, bengkel tersebut menyediakan perkhidmatan lebih menyeluruh kepada pengguna skuter.
"Di SkutaHub, kita ada perkhidmatan jualan aksesori, pemasangan, pembaikan, servis motosikal dan pengubahsuaian enjin. Selain itu, kita juga aktif menjual aksesori di platform dalam talian," katanya yang kini beroperasi dengan kira-kira sembilan orang pekerja.
Daripada jualan dalam talian kepada operasi bengkel
Azizul berkata, selain minat mendalam terhadap dunia skuter, pendedahan awalnya terhadap perniagaan jualan dalam talian turut memberikan keyakinan kepadanya untuk membuka bengkel.
Ketika bertugas sebagai eksekutif perakaunan, dia yang juga lulusan diploma perakaunan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) cawangan Kuala Lumpur turut melakukan perniagaan sambilan di platform e-dagang iaitu Shopee degan menjual aksesori telefon pintar.
"Waktu itu saya buat sambilan. Kalau ada waktu lapang saya akan buat pembungkusan sendiri, kemudian hantar kepada pelanggan," ujarnya.
Sementara itu, minatnya terhadap skuter yang mula tumbuh pada 2018 menyaksikannya turut mula mempelbagaikan perniagaan dalam taliannya dengan meliputi barangan aksesori motosikal.
SkutaHub turut menjual aksesori skuter kepada pengguna. — SkutaHub
Langkah itu sekali gus turut membolehkan dia mengambil keputusan menjadi pembekal kepada beberapa bengkel motosikal di sekitar Lembah Klang.
Azizul yang juga bapa kepada tiga orang anak turut mengambil keputusan untuk berhenti daripada kerja tetap yang diceburinya sebaik menamatkan pengajian pada 2005 bagi memberikan tumpuan terhadap perniagaan dalam talian.
Ujarnya, selepas tempoh pandemik Covid-19, dia dibantu kemudiannya membuat keputusan untuk membuka bengkel khusus untuk skuter pada Ogos tahun lalu dengan bermodalkan kira-kira RM20,000 dengan dibantu seorang rakannya.
"Saya guna duit simpanan dan untuk dapatkan modal tambahan, saya jual motosikal skuter jenis Honda. Selain sewa dan ubah suai kedai, kebanyakan barang-barang saya guna daripada bekalan aksesori daripada kedai dalam talian saya," ujarnya.
Bengkel tersebut yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai SkutaHub pada September lalu kini boleh menampung jumlah pelanggan harian antara 20 hingga 30 pengguna skuter.
SkutaHub boleh menerima antara 20 hingga 30 pelanggan sehari. — SkutaHub
Azizul berkata, pihaknya sentiasa menekankan tahap profesionalisme tinggi dalam perkhidmatan diberikan dan turut sentiasa mendapatkan maklum balas penambahbaikan daripada pelanggan.
Ujarnya, pekerja di bengkelnya juga turut mempunyai pengalaman mencecah lima hingga enam tahun membabitkan pembaikan dan penyelenggaraan skuter.
Dalam pada itu, bergerak ke hadapan, dia merancang untuk meluaskan lagi perkhidmatan ditawarkan SkutaHub di Lembah Klang termasuk dengan menyediakan pusat sehenti yang menjadi gudang penyimpanan barangan skuter termasuk tayar.
"Kemudian kita nak juga cuba kembangkan kedai SkutaHub di beberapa negeri lain. Mungkin di Pantai Timur satu, di Selatan dan Utara pun (masing-masing ada).
"Sebab kita nak didik pengguna supaya apabila nak servis skuter, seeloknya buat dengan pakar dan bukan di bengkel biasa. Ini kerana cara servis skuter lain dan tak sama dengan motosikal biasa," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram