SEORANG tukang gunting rambut tradisional India di Ipoh, Perak kini merupakan generasi keempat yang menerajui perniagaan perkhidmatan tersebut yang dikatakan sudah mencecah usia lebih satu abad.
Walaupun tidak mengetahui tarikh sebenar perniagaan itu bermula, M. Selvaraj, 36, berkata, ia dimulakan oleh moyangnya, R. Kupusami, yang berasal dari India.
“Moyang saya merupakan generasi pertama tukang gunting yang memulakan perniagaan di bawah pokok besar berhampiran Sungai Kinta, sebelum berpindah ke lokasi sekarang.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
“Perniagaan itu kemudiannya diwarisi oleh datuk sebelum diambil alih oleh saudara jauh. Saya mengambil alih kira-kira 12 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kedainya di belakang rumah pangsa Jalan Bijih Timah di Ipoh, Perak.
Selvaraj, yang juga dikenali sebagai Raj dalam kalangan pelanggannya berkata, dia mempelajari kemahiran mengoperasikan perniagaan itu ketika berusia 16 tahun.
“Saya mula bekerja di sini selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya sangat menyukai pekerjaan terbabit,” tambahnya.
Selvaraj berkata, dia turut memberikan penghargaan kepada pelanggan terutama pengguna tetap yang membolehkan perniagaannya diteruskan walaupun selepas pandemik Covid-19.
“Saya masih ingat ia sangat sukar semasa wabak, terutamanya apabila perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.
"Saya perlu menyesuaikan diri dengan menawarkan perkhidmatan memotong rambut dari rumah ke rumah untuk empat hingga lima pelanggan sehari.
“Kemudian baru-baru ini, saya mengalami kecederaan selepas kemalangan dan tidak dapat beroperasi di kedai saya.
"Menyedari ketidakhadiran saya, beberapa pelanggan juga datang menjenguk bertanyakan khabar. Malah ada juga yang datang ke rumah saya untuk menggunting rambut,” katanya sambil memberitahu pelanggannya terdiri daripada pelbagai latar bekalang bangsa, negara dan umur.
Ujarnya, dia juga pernah mendapat pelanggan yang datang dari New Zealand, Kanada dan Australia selepas mereka membaca ulasan di Google.
"Mereka juga mengatakan bahawa harganya agak murah berbanding tukang gunting rambut lain," ujarnya dan menambah bahawa dia mengenakan bayaran RM10 untuk setiap pemotongan rambut yang dilakukan.
Pada masa sama, dia tuut menawarkan diskaun kepada murid sekolah rendah dan menengah serta menyediakan potongan rambut percuma kepada pelanggan kurang berkemampuan.
Dalam pada itu, Selvaraj berkata, dia percaya populariti yang dicapainya juga disumbangkan antara lain kerana faktor penggunaan losyen penyejuk yang dikeluarkannya.
“Losyen itu disapukan di kepala selepas selesai proses gunting rambut. Malah ada yang membelinya untuk digunakan di rumah.
"Pelanggan saya juga berasa teruja apabila melihat saya mengasah pisau cukur saya dengan 'strop' kulit," katanya sambil menambah pelanggannya juga menyukai susunan gaya lama di kedai gunting rambutnya.
“Saya tidak nampak diri saya bersaing dengan tukang gunting moden lain kerana pelanggan saya masih lebih suka gaya tradisional,” tambahnya. — The Star/ANNABELLE LAWRENCE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram