SEBAIK melangkah ke ruangan dalam restoran Penang Dollah Kitchen di Perth, Australia, pengunjung pastinya akan terkejut dengan suasana yang ditampilkan di dalam premis tersebut.
Mana tidaknya, dengan hiasan mural dan susunan meja ditampilkan, ia seakan-akan menghantar mereka berkelana kira-kira ribuan kilometer ke Pulau Pinang untuk menikmati bukan sahaja cita rasa masakan, malah kepelbagaian budaya negeri yang dikenali dengan nama Pulau Mutiara itu.
Antara mural yang terpampang memaparkan seorang lelaki memikul periuk nasi dan kari pada bahu, sekali gus menggambarkan cara tradisional nasi kandar dijual pada zaman dahulu.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Sementara itu, satu lagi mural pula menampilkan lukisan harimau kumbang hitam sebagai penghormatan terhadap Kelab Bola Sepak Pulau Pinang yang dikenali sebagai Penang Black Panthers.
Karya seni yang ditampilkan di premis tersebut turut menggabungkan mercu tanda ikonik Pulau Pinang antaranya Jambatan Pulau Pinang, pokok pinang dan bendera negeri yang dikenali sebagai Pulau Mutiara itu.
Lukisan mural memaparkan cara tradisional jualan nasi kandar pada zaman dahulu di Pulau Pinang. — Penang Dollah Kitchen
Pemilik bersamanya, Darvin B Mutusamy, 32, berkata, penampilan mural itu dilaksanakan bagi ulang tahun pertama restoran terbabit yang beroperasi di Warwick, pinggir bandar Perth.
Menurutnya, turut ditampilkan pada lukisan yang dipamerkan itu adalah pemilik bersama restoran terbabit Shaikh Suni Mohd, 56, yang lebih dikenali sebagai Abang Dollah di Perth.
“Abang Dollah merupakan anak jati Pulau Pinang dari Kampung Melayu, Air Itam, dan terdapat lukisan memaparkan beliau sedang membuat roti canai, iaitu salah satu hidangan istimewa restoran itu dan nasi kandar.
“Terdapat juga mural menggambarkan bangunan ikonik Komtar, beca tradisional, gerai tepi jalan dan rumah warisan yang memberikan imej landskap Pulau Pinang.
“Setiap mural berfungsi bagi merayakan kekayaan warisan Pulau Pinang. Kami mahu mempromosikan Pulau Pinang dan Malaysia kepada warga Australia dan pelancong, sekali gus menonjolkan gabungan unik tradisi dan cita rasa pulau itu,” katanya dalam satu temu bual.
Darvin yang merupakan anak kelahiran Pahang sudah tinggal selama tujuh tahun di Australia.
Beliau berkata, mural itu menjadi tarikan sejak ia selesai dilukis oleh artis Malaysia, Mohamad Fakhri Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Lowkey pada September.
Dengan menggunakan cat semburan, artis berpangkalan di Kuala Lumpur itu berkata, dia mahu memastikan suasana Pulau Pinang yang meriah dapat dirasai di restoran itu.
Suasana rekaan ruang dalaman Penang Dollah Kitchen di Perth.
“Untuk elemen jalanan Pulau Pinang, saya telah mengambil inspirasi daripada beca di Pulau Pinang dan bagaimana nasi kandar pada asalnya dijual.
"Pemilik restoran mahu pelanggan mereka berasa seolah-olah mereka sedang menjamu selera di Pulau Pinang sendiri," kata Lowkey yang mengambil masa seminggu untuk menyiapkan mural itu.
Lowkey, yang mempunyai pengalaman selama 16 tahun dengan karyanya dipamerkan di Emiriah Arab Bersatu, Jerman, Belgium dan negara-negara Asia Tenggara turut melahirkan penghargaan kepada pemilik restoran dan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk mencipta mural terbabit.
Muhammad Bakhtiar ketika dihubungi berkata, dia mengenali Abang Dollah ketika berkunjung ke Perth baru-baru ini.
“Dia memberitahu saya dia pernah tinggal di Kampung Melayu dan bekerja di restoran terkenal Kampung Melayu Nasi Kandar.
“Apabila melihat dinding restoran yang kosong, saya mengusulkan idea untuk menghiasinya dengan lukisan bertemakan Pulau Pinang.
“Mereka bersetuju dan memutuskan untuk menggunakan perkhidmatan Lowkey apabila melihat lakarannya,” kata Muhammad Bakhtiar, yang menaja penerbangan artis itu ke Perth. — The Star/IMRAN HILMY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram