Setiap minggu tampil koleksi baharu, bekas pengacara TV bawa empayar tudung bertahan hampir sedekad


  • Bizz
  • Rabu, 13 Nov 2024

Nor Ameera berkata, dia sentiasa mengutamakan perkhidmatan berorientasikan pelanggan.

MESKIPUN sudah bertapak hampir sedekad dalam dunia fesyen muslimah tanah air, jenama Ameera Zaini (AZ) terus kekal konsisten dalam menampilkan koleksi tudung terbaharunya saban minggu yang sentiasa dinantikan oleh pengikutnya.

Malah, ia juga tanpa gagal untuk mengetengahkan sentuhan ketelitian cita rasa sekali gus menjadikannya sebagai penyeri setia buat digayakan wanita moden selepas hampir sedekad bertapak.

Pengasasnya yang juga bekas pengacara televisyen, Nor Ameera Zaini, 35, berkata, dalam prosesnya membina jenama pakaiannya, dia sentiasa mengutamakan perkhidmatan berorientasikan pelanggan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Disebabkan itu katanya, dia sentiasa memberikan tumpuan untuk memahami keperluan pasaran dan terus berusaha memberikan produk memenuhi keperluan semasa.

“Sebagai pemilik jenama, saya harus memastikan setiap koleksi tudung bakal diketengahkan kepada pelanggan menjalani kawalan kualiti ketat.

“Saya sendiri akan mencuba, meneliti dan semak hampir 100 rekaan tudung setiap minggu sebelum mengeluarkan koleksi terbaik di pasaran.

“Daripada kesemua jumlah itu, hanya lima hingga 10 melepasi cita rasa saya atas beberapa alasan seperti kombinasi tidak menarik, motif tidak melambangkan AZ dan sebagainya,” katanya.

Dengan objektif mahu memastikan setiap wanita tampil cantik dan berkeyakinan, setiap koleksi tudung AZ menekankan elemen yang dapat membangkitkan aura peribadi pemakai.

Jelas beliau, bukan mudah untuk merealisasikan perkara tersebut kerana banyak faktor perlu diambil kira sebelum memberi lampu hijau terhadap koleksi dicadangkan pereka tekstil.

Antara yang perlu diberi penilaian adalah kualiti kain, kesesuaian rekaan atau motif, warna dan susunan corak serta pemilihan material tudung bakal diketengahkan.

Kongsinya, rekaan tudung yang baik terletak pada kepuasan ketika pemakaian.

At the heart of Ameera’s business lies a desire to create stylish pieces that appeal to self-confident, fashionable Muslim women.

Dengan objektif mahu memastikan setiap wanita tampil cantik dan berkeyakinan, setiap koleksi tudung AZ menekankan elemen yang dapat membangkitkan aura peribadi pemakai.

“Saya sangat teliti tentang kualiti tudung. Selain mementingkan kepuasan pelanggan, saya mahu tudung dipakai memberikan pengalaman menggembirakan pelanggan,” ujar anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Bagi Nor Ameera, perniagaan dikendalikan itu menitikberatkan inovasi sebagai keutamaan perniagaan.

Di samping perlu berfikir kreatif dan menghasilkan koleksi baharu yang memberikan nilai tambah pada perniagaan, beliau juga berani mengambil risiko untuk keluar dari zon selesa.

Jenama itu mengeluarkan pelbagai jenis tudung bawal ikonik dengan menggunakan cetakan ditempah khas dari China, turut dikenali sebagai antara pengeluar dunia fabrik terbesar.

“Inovasi material memberi fokus kepada rawatan khas membolehkan tudung tahan lasak, tidak mudah luntur, lembut dan tidak berbulu selepas beberapa kali basuhan.

“Fabrik digunakan premium seperti sifon, kapas ringan, likra dan sutera,” katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Farmasi Perubatan, Universiti Multimedia, Cyberjaya itu.

Antara koleksi tudung mendapat sambutan ialah AZ Untukmu, Unreleased Collections, Printed Satin, Printed Cotton, Printed Basic dan Instant dijual pada harga bermula RM69.

Setiap koleksi itu bermula daripada pilihan tudung bawal atau selendang cetak khas sehingga tudung sedia pakai mudah terbentuk.

Selain itu, koleksi AZ Essentials menghimpunkan persalinan muslimah lain antaranya sarung tangan, sejadah dan beg.

Sementara itu, AZ turut berkolaborasi bersama beberapa jenama korporat dan perniagaan lain seperti Isetan, TV3, Laurier, Wardah dan Hospital Putrajaya untuk menghasilkan koleksi tudung.

Minat

Nor Ameera berkata, kerjasama itu melambang kepada kemampuan jenama itu beradaptasi seiring dengan perubahan dunia perniagaan yang bergerak pantas.

“Sekiranya mahu terus bertahan, usahawan perlu memiliki kriteria lain untuk berkembang seiring permintaan semasa.

“Pendapatan jualan jutaan ringgit bukan ukuran, tetapi kepuasan pelanggan menjadi keutamaan,” tuturnya.

Menyentuh tentang permulaan pembabitan dalam perniagaan tudung, katanya, minat untuk berniaga dan fesyen sudah ada dalam diri sejak melanjutkan pengajian di universiti dengan kerap menyertai bazar untuk menjual pakaian terpakai.

At the heart of Ameera’s business lies a desire to create stylish pieces that appeal to self-confident, fashionable Muslim women.

Ameera (kanan) berkata, dia sentiasa memberikan tumpuan untuk memahami keperluan pasaran dan terus berusaha memberikan produk memenuhi keperluan semasa.

Selepas tamat pengajian, Nor Ameerah mula menjual pakaian dibeli dari pasar raya borong.

Kecintaan terhadap dunia fesyen bertambah mendalam apabila berpeluang mengendalikan rancangan berkonsepkan travelog fesyen muslimah.

Sekitar 2012, beliau diberikan kesempatan meninjau fesyen Muslim global antaranya di Amerika Syarikat, Turki, Perancis dan Thailand.

“Selepas mendapat sedikit modal, saya mula menghasilkan anggaran 100 tudung bawal dengan perpaipan tepi dijual secara dalam talian sekitar 2014.

“Tudung itu mendapat sambutan dan stokis dilantik untuk mengendalikan permintaan yang semakin meningkat,” ujarnya.

Ketekunan Nor Ameerah mengendalikan perniagaan dengan kepimpinan yang kuat turut membolehkan jenama itu mengembangkan sayap.

Strategi

Selepas satu dekad, AZ sudah berjaya menjual jutaan tudung sehingga mampu melebarkan sayap membuka kedai di IOI City Mall Putrajaya menjadi vendor di Isetan KLCC.

“Saya yang memulakan perniagaan ini dan dibantu suami, Hasnor Zaini. Kini, ia berkembang kepada 40 kakitangan termasuk 10 orang ditugaskan sebagai pemeriksa kualiti.

“Jenama ini juga dilengkapi dengan lima pereka fabrik dalaman dan bakal menambah jumlah pereka bagi membuka ruang untuk mengembangkan idea koleksi,” jelasnya lanjut.

Menyentuh tentang pendekatan promosi yang menampakkan dirinya sebagai wajah jenama, katanya langkah itu adalah untuk melatih diri supaya lebih berkeyakinan.

Katanya, seorang usahawan perlu memiliki sikap kepimpinan yang kuat bagi memberi inspirasi dan motivasi kepada pasukan.

“Saya seorang introvert biarpun umum pernah melihat saya di kaca televisyen. Oleh itu, saya perlu mencari pendorong untuk lebih berkeyakinan.

“Jadi, saya mahu menjadikan perniagaan sebagai faktor penolak untuk lebih berkeyakinan berhadapan dengan cabaran,” katanya.

Dalam kesibukan menyusun perniagaan, ibu kepada dua cahaya mata itu mahu menikmati detik indah membesarkan anak lelakinya yang masing-masing berusia 7 tahun dan lima tahun.

Bagi memastikan perkara itu tercapai, beliau mengakui perlu menetapkan rutin harian agar jadualnya tersusun.

“Saya akan catat setiap perkara perlu dilakukan sehari sebelum menghantar anak-anak ke sekolah dan masa dihabiskan untuk mereka tidak terganggu.

“Hujung minggu juga adalah masa untuk anak-anak dan saya tidak pernah meninggalkan mereka (anak-anak) di rumah atas urusan kerja,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram