Cuba-cuba jual kopi tepi jalan di Bangi, 'programmer' suami isteri kini miliki kilang RM1.4 juta


  • Bizz
  • Rabu, 13 Nov 2024

Muhammad Aizuddin (gambar kiri) mula menjual minuman kopi bersama isterinya sejak 2015.

PADA 2015, Muhammad Aizuddin Abdul Manap dan isterinya yang bekerja sebagai pengatur cara atau programmer hanya mencuba-cuba menjual kopi di tepi jalan bagi mengisi masa lapang sambil pendapatan pada waktu hujung minggu.

Dengan hanya berbekalkan khemah dan hidangan kopi Vietnam jenis Robusta, mereka mula berjualan di sekitar Seksyen 9, Bangi Selangor.

Bagaimanapun, dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, pasangan itu boleh berbangga apabila jenama kopi mereka, Blend Coffee Roasters kini sudah memiliki sebuah kilang yang mengeluarkan produk biji kopi dipanggang segar dan empat buah kafe.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Muhammad Aizuddin berkata, semasa memulakan perniagaan dari tepi jalan, mereka yang juga pencinta kopi sememangnya tidak mempunyai perancangan untuk menjadi pengedar biji kopi segar kepada pengguna.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu berubah selepas mereka menerima kelahiran anak pertama pada 2017.

"Sebab bila jual dari tepi jalan ini, dia macam agak sukar. Kemudian, kita ambil keputusan untuk menjual secara dalam talian," katanya.

412572169_378572071227718_3489176058228116800_n

Blend Coffee Roasters kini memiliki empat buah kafe di sekitar Lembah Klang. — Blend Coffee Roasters

Bermula daripada situ, Muhammad Aizuddin berkata, mereka kemudiannya mula mengedar biji kopi Vietnam.

Pada masa sama, beliau berkata, mereka juga mula memasarkan produk biji kopi jenis Arabica yang dipanggang sendiri dari rumah sebelum memindahkan operasi mereka ke sebuah premis kedai kecil di Sungai Ramal kira-kira dua tahun kemudian di Kajang pada 2019.

Menurutnya, pada waktu itu, mereka yang tidak memiliki sebarang pendidikan formal dalam proses memanggang biji kopi hanya menggunakan sebuah mesin panggang berkapasiti dua kilogram.

Muhammad Aizuddin berkata, dengan tanpa sebarang bantuan dana atau pelaburan luar, mereka mengembangkan perniagaan Blend Coffee Roasters daripada awal dengan hanya bermodalkan pendapatan diperolehi daripada hasil jualan dilakukan.

Bagaimanapun, menurutnya, titik perubahan membantu kepada peningkatan drastik operasinya bermula ketika pandemik Covid-19 yang menyaksikan kenaikan mendadak permintaan terhadap biji kopi panggang segar.

Latar belakang IT bantu persiapkan diri penuhi permintaan pelanggan

441521858_10233888350009626_7071969913965464382_n

Blend Coffee Roaster antara pihak terawal menjual biji kopi segar secara dalam talian. — Facebook/Muhd Aizuddin Abdul Manap

Menurut Muhammad Aizuddin yang berasal dari Sungai Ramal, Kajang, pada ketika itu, mereka bernasib baik kerana sudah terlebih dahulu menumpukan jualan syarikatnya di platform dalam talian berbanding syarikat lain termasuk yang memiliki nama besar.

"Kita sangat bersyukur sebab waktu PKP itu kita boleh katakan bahawa jualan kita meningkat lebih 100 peratus sebelum pandemik," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, menurutnya, pengalaman mereka sebagai pekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) turut memberi kelebihan kepada mereka untuk menguasai teknik pemasaran dalam talian termasuk di media sosial.

Pada masa sama, ujarnya, kelebihan terbabit juga membantu mereka mewujudkan sistem operasi lebih efisien termasuk dalam isu pengurusan stok biji kopi panggang segar yang merupakan antara cabaran utama perlu ditangani.

"Sebab kita punya SOP adalah biji kopi dihantar sampai kepada pengguna itu segar dan tidak lebih dua minggu selepas dipanggang.

"Jadi kawalan daripada segi stok siap itu penting lebih-lebih lagi dengan trend peningkatan tempahan daripada pelanggan. Kalau dulu biasa mereka akan beli satu paket 200 gram, sekarang ini biasanya dalam 1 kilogram," ujarnya.

Dengan perkembangan tersebut, Muhammad Aizuddin yang juga graduan dalam bidang Komputer Sains daripada Universiti Kebangsaan (UKM), Malaysia berkata, dia turut mula mengambil pekerja selepas hampir lima tahun mengoperasikan perniagaan itu sendirian bersama isterinya.

410305162_373653308386261_5997570718245100435_n

Antara produk biji kopi segar yang dijual Blend Coffee Roasters. — Blend Coffee Roasters

Pada waktu ini, Blend Coffee Roasters mempunyai sebuah kilang yang memiliki dua biji mesin masing-masing berkapasiti 20 kilogram dan 40 kilogram yang mampu menghasilkan kira-kira dua tan biji kopi seminggu.

Ujarnya, kilang terletak di Seksyen 10, Bangi yang beroperasi sejak 2021 sebelum itu dibeli pada harga RM1.4 juta.

Selain itu, empat kafe yang turut menjadi tempat jualan kopinya pula berada di Seksyen 9 dan Bukit Jelutong di Shah Alam serta di Seksyen 9, Bangi dan Kajang.

"Sekarang ini kita beroperasi dengan kira-kira 20 pekerja dengan 10 daripada bekerja di kilang panggang," katanya.

Menurut Muhammad Aizuddin, antara produk signatur yang mendapat permintaan tinggi di kedainya adalah biji kopi dari Brazil, Colombia dan Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram