Fans tegar The Gunners jadikan kelab inspirasi buat perniagaan jualan cenderamata pasukan kesayangan


  • Bizz
  • Khamis, 14 Nov 2024

Ahmad Fauzi (gambar kiri) mula mengasaskan Kaki Arsenal sekitar 2016.

AHMAD Fauzi Ramli tidak pernah menyangka bahawa minatnya terhadap pasukan kelab bola sepak utama Eropah, Arsenal boleh menjadi inspirasi sebagai sumber pendapatannya sejak lapan tahun lalu.

Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu merupakan pengasas kepada perniagaan jualan cenderamata peminat atau fan made bagi kelab berpangkalan di London, United Kingdom terbabit.

Sebelum memulakan perniagaan tersebut, Ahmad Fauzi terlebih dahulu yang merupakan graduan Fakulti Seni Halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terlebih dahulu bekerja sebagai pereka grafik selama lapan tahun selepas menamatkan pengajian sekitar 2002.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Selain itu, dia yang berusia 40-an turut pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Multimedia di Kolej Universiti Insaniah yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Alor Setar, Kedah.

Bagaimanapun, perjalanan hidup Ahmad Fauzi kemudiannya berubah apabila dia menyambut kelahiran anak keduanya pada 2016 yang menghidap penyakit kronik seperti leukemia dan jantung sehingga memerlukan penjagaan rapi di hospital.

WhatsApp Image 2024-11-07 at 20.10.15

Studio di rumah yang menjadi tempat permulaan Ahmad Fauzi mengeluarkan produk cenderamata Kaki Arsenal.

Ujian itu menyebabkan dia membuat keputusan berhenti kerja dan tinggal bersama isterinya yang bekerja di Seremban, Negeri Sembilan untuk menjaga anaknya.

Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, dengan minatnya yang mendalam terhadap Arsenal di samping kemahiran dimilik, dia mendapat idea mengeluarkan barangan cenderamata pasukan kesayangannya itu bagi sedikit sebanyak membantu keluarganya mendapatkan pendapatan tambahan.

"Bila dah berhenti kerja itulah saya terfikir untuk buat Kaki Arsenal. Sebab sebelum itu pun saya dah buat rekaan pakaian cumanya untuk kegunaan sendiri.

"Jadi waktu itu saya mula dengan studio kecil di bilik saya di rumah dan dengan satu mesin pemotong vinyl. Jadi saya lakukan secara sambilan di samping menjaga anak saya.

"Saya buat produk itu daripada A ke Z termasuk dengan membuat pemasaran untuk memperkenalkan jenama Kaki Arsenal di media sosial," kata bapa kepada dua cahaya mata itu kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-11-07 at 20.10.15 (2)

Antara topi yang dikeluarkan Kaki Arsenal.

Kini selepas lapan tahun, Ahmad Fauzi berkata, dia bersyukur apabila jenama Kaki Arsenal berjaya terus kekal dan mendapat perhatian dalam kalangan penyokong The Gunners di tanah air.

Katanya, selain jualan cenderamata t-shirt dengan pelbagai rekaan baharu sekali tiga bulan, dia turut menawarkan produk topi edisi terhad yang dikeluarkan sebanyak 100 unit bagi setiap keluaran.

"Daripada segi jualan t-shirt itu memang setiap minggu akan ada tempahan dan kita juga buat secara 'on-demand' dan bukannya 'ready-stock'.

"Untuk topi pula biasa kita keluarkan dalam jumlah terhad biasa satu edisi itu tiga hari dah habis ditempah," ujarnya yang mula meminat Arsenal sejak penghujung 90-an kerana tertarik dengan rekaan jersi pasukan ketika itu yang ditaja oleh sebuah syarikat permainan video.

WhatsApp Image 2024-11-07 at 20.10.14

Ahmad Fauzi kini turut memperkenalkan jenama baharu dikenali sebagai Rival yang mengeluarkan cenderamata daripada kelab bola sepak EPL lain.

Dalam pada itu, sejak tahun lalu, Ahmad Fauzi berkata, dia kini turut menyewa satu studio rumah kedai di Nilai untuk menguruskan operasi Kaki Arsenal dan satu jenama terbaharunya dikenali sebagai Rival yang mengeluarkan produk cenderamata pasukan EPL lain.

"Sekarang ini saya fokus kepada Rival. Cumanya ketika ini mungkin berdepan kekangan sedikit kerana saya kurang sedikit arif mengenai rekaan yang mungkin dekat dengan penyokong kelab-kelab terbabit.

"Contohnya macam Manchester United, Liverpool dan Manchester City semuanya ada citarasa dan minat tersendiri. Jadi saya ketika ini akan cuba untuk dapatkan maklum balas mengenai rekaan apa yang menjadi kehendak mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram