Latihan percubaan PLKN 3.0 bermula 12 Januari 2025 


  • Primer
  • Sabtu, 16 Nov 2024

Latihan Percubaan PLKN 3.0 akan dilaksanakan bermula 12 Januari tahun hadapan.

LATIHAN Percubaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan bermula 12 Januari tahun hadapan dengan penglibatan seramai 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, latihan yang berlangsung selama 14 hari itu dijalankankan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur.

Menurutnya, latihan percubaan itu diadakan sebagai persediaan dan penilaian sukatan pelajaran bagi program tersebut sebelum sesi sebenar PLKN 3.0 bermula pada Jun 2025.

BACA LAGI: Hanya lepasan SPM terlibat PLKN 3.0 bermula Januari 2025

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

WhatsApp Image 2024-11-16 at 18.23.01

Adly berkata, Latihan Percubaan PLKN dapat memastikan persediaan untuk sesi sebenar pada Jun 2025.

"Melalui Latihan Percubaan PLKN, kita dapat pastikan persediaan untuk sesi sebenar pada Jun 2025 benar-benar pada tahap 100 peratus dengan masih ada ruang untuk penambahbaikan modul dan latihan mana yang perlu,” katanya selepas merasmikan program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Sembilan dan menyampaikan geran inisiatif kepada 13 veteran ATM pada Sabtu.

Beliau berkata, latihan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun dengan permohonan boleh dilakukan di laman sesawang Kementerian Pertahanan, www.mod.gov.my sehingga 23 November ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, PLKN 3.0 akan dilaksanakan dengan format baharu bermula Jun atau Julai 2025.

Menurutnya, PLKN 3.0 terbahagi kepada Fasa Pra PLKN melibatkan pelajar tingkatan empat yang akan dilaksanakan di sekolah ketika kegiatan kokurikulum dan Fasa PLKN Asas melibatkan remaja 17 tahun dan ke atas.

Ujar Mohamed Khaled lagi, Fasa PLKN Asas yang menerapkan 30 peratus modul asas kenegaraan dan 70 peratus latihan ketenteraan, dijangka dilaksanakan bermula April 2026 di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam dan beberapa politeknik terpilih seluruh negara.

Sementara itu, Adly berkata, Kementerian Pertahanan tidak mempunyai masalah untuk mencapai bilangan 200 orang pelatih selain mereka yang mendaftar secara sukarela.

"Buat masa ini, kita memang tumpukan kepada pelajar lepasan SPM cuma daripada segi akta sahaja yang menyebut ia boleh disertai pelatih sehingga usia 35 tahun," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram