PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Januari depan, kata Timbalan Menteri Pertahanan.
Adly Zahari berkata, sebagai permulaan, program itu akan diadakan di dua kem tentera iaitu di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan ke 13 kem lain di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.
“Untuk tahun depan, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi kita mulakan PLKN 3.0... mengikut perancangan asal, (kita sepatutnya mula) pada pertengahan tahun depan tetapi ada keperluan untuk kita laksanakan lebih awal.
“Mulai awal tahun depan juga, kita akan buat pengambilan pertama dan memberi fokus kepada dua kem itu sebagai perintis projek PLKN 3.0 sebelum melaksanakannya pada skala yang lebih besar Jun depan,” katanya kepada pemberita di Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka pada Sabtu.
BACA LAGI: Pemuda Johor tak lokek kongsi 5 sebab musim luruh waktu terbaik berkunjung ke Norway
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan Projek Jiwa Murni peringkat negeri Melaka yang turut dihadiri Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.
Adly berkata, dianggarkan 500 peserta akan dipilih untuk pelaksanaan program itu pada Januari dan jumlah berkenaan akan ditambah sewaktu pengambilan dibuat pada Jun.
Tambahnya lagi, PLKN 3.0 akan menyasarkan peserta berumur 16 hingga 35 tahun daripada kalangan pelajar tingkatan Empat, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, sebanyak 10 buah rumah milik golongan miskin tegar dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Melaka telah dibaik pulih antara Januari dan Oktober menerusi 'Projek Jiwa Murni' dengan peruntukan sebanyak RM138,500.
Beliau berkata, lima daripada rumah itu berada di kawasan parlimen Alor Gajah dan lima lagi di DUN Tangga Batu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram