[VIDEO] Pemandu Civic meraung tersepit minta tolong, nahas babit lori kontena di Simpang Renggam


  • Tular
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Tangkap layar kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan termasuk sebuah treler membawa kontena terbabas dalam kejadian di Lebuhraya Plus arah utara berhampiran Simpang Renggam-Machap dekat Kluang pada Jumaat.

SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan termasuk sebuah treler membawa kontena terbabas dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara berhampiran Simpang Renggam-Machap dekat Kluang, Johor pada Jumaat.

Mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu didakwa maut ekoran daripada kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan warga maya di laman media sosial dan aplikasi WhatsApp, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita maut dihempap kontena lebih muatan di George Town, pemandu treler negatif dadah dan alkohol

BACA LAGI: ‘Mummy, saya sangat sakit’, kata-kata terakhir mangsa dihempap kontena di Bukit Mertajam kekal menghantui ibu sampai bila-bila

Turut tular beberapa video dan gambar yang memaparkan treler yang membawa kontena itu terbalik merintangi jalan sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya.

Pada masa sama, melalui video yang dikongsikan kelihatan orang awam cuba membantu pemandu kereta Honda Civic yang merayu kesakitan meminta pertolongan.

Turut kelihatan, seorang penunggang motosikal terbaring kaku di bawah besi penghadang jalan.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Renggam, Abd Rahim Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut sekitar pukul 7.43 pagi Jumaat.

Katanya, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan tiga kenderaan membabitkan sebuah lori kontena terbabit.

"Penunggang motosikal berusia 33 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun yang menaiki Honda Civic mengalami kecederaan.

"Pemandu Honda Civic terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas kerana tersepit dalam kenderaan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, penumpang Honda Civic berkenaan dibawa ke hospital oleh orang awam di tempat kejadian.

"Manakala, pemandu lori treler, lelaki berusia 40 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Punca kemalangan masih belum dapat dipastikan," ujarnya.

Pada masa sama, Polis Kluang memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan mengenai kemalangan itu dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram