TOPIK mengenai gaji minimum kembali menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia susulan langkah kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula pada tahun depan.
Pengumuman peningkatan sebanyak RM200 itu rata-ratanya mendapat respons yang positif meskipun terdapat pihak yang berpendapat bahawa ia masih jauh daripada mencukupi untuk benar-benar memastikan kebajikan pekerja di Malaysia.
Bagaimanapun, di sebalik kehangatan perbincangan tersebut, turut tular satu video berhubung seorang pengusaha gerai menjual pisang goreng di Shah Alam yang memberikan pekerjanya gaji asas sebanyak RM2,000.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Klip tular terbabit menarik perhatian warganet yang kebanyakan tidak menyangka bahawa perniagaan di tepi jalan mampu memberikan gaji pada kadar tersebut, iaitu RM300 lebih tinggi berbanding gaji minimum bakal dilaksanakan kerajaan.
Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan yang juga pengusaha Uncle Yeop Pisang Goreng berkata, dia juga menjanjikan bayaran bonus akhir tahun sebanyak RM2,000 terhadap pekerja yang kesemuanya terdiri daripada anak-anaknya.
Menurutnya, kadar gaji diberikan tersebut dilihat berbaloi dengan mengambil kira cabaran perlu dihadapi untuk mengoperasikan gerai pisang goreng terbabit yang merupakan perniagaan keluarga.
Pemilik Uncle Yeop Pisang Goreng, Khairul Anuar Abdul Rani, 55, mengakui dia menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak selepas videonya tular di media sosial.
Ujarnya, ramai warganet menyangka bahawa dia memiliki kekayaan yang banyak hasil perniagaannya sehingga mampu memberikan gaji sedemikian.
Tampil memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut, Khairul berkata, meskipun kadar upah diberikan dilihat agak tinggi, namun operasi gerai pisang goreng yang diusahakannya lebih-lebih lagi melibatkan ahli keluarga bukanlah sama seperti pekerjaan biasa.
Khairul mula meniaga menjual pisang goreng sejak 2004. — Uncle Yeop Pisang Goreng
Menurutnya, ini kerana kebiasaannya, rutin harian operasi perniagaannya lazimnya mencecah sehingga 15 jam bermula dari pukul 9.30 pagi hingga pukul 10 malam.
Pada waktu ini, ujarnya, operasi gerainya dibantu secara sepenuh masa oleh empat orang anaknya termasuk seorang daripadanya yang membantu secara sambilan kerana masih bersekolah dan berusia 15 tahun.
"15 jam itu bermula pada pukul 7.30 pagi dengan anak kedua saya pergi ke pasar. Balik daripada pasar kemudian turunkan barang masuk lori baru pergi tempat berniaga dan pasang payung dan kuali semua untuk mula menggoreng.
"Kemudian dekat situ jual sampai pukul 5.30 petang. Lepas itu kemas-kemas balik rumah sampai pukul 7 petang. Seterusnya lepas maghrib kita akan sambung cuci barang semua untuk mula balik berniaga esok. Jadi semua kita buat," katanya kepada Majoriti.
Khairul yang sudah berniaga pisang goreng selama kira-kira 20 tahun lalu sejak 2004, dia dibantu oleh anak-anaknya kerana tidak ramai orang yang sanggup untuk bekerja dengan tempoh yang panjang.
"Kalau kita ada pekerja, sanggup ke mereka kerja selama ini. Duduk depan kuali lama-lama pun panas. Netizen fikir saya kaya bayar gaji RM2,000. Tapi kita bukan kerja macam di pejabat atau kerja kilang.
"Tapi yang sanggupnya itulah anak-anak. Jadi saya hargailah titik peluh dan komitmen anak-anak terhadap bisnes kami," ujarnya yang lebih mesra dipanggil Pak Yeop.
Dalam pada itu, Khairul berkata, pada waktu ini, dia menjual kira-kira sebanyak 120 kilogram pisang setiap hari dengan nilai jualan harian sekitar RM2,000.
Uncle Yeop Pisang Goreng beroperasi di Seksyen 19, Shah Alam dari Isnin hingga Jumaat. — Uncle Yeop Pisang Goreng
Khairul yang berasal dari Bota Kiri, Perak, berkata, dia memulakan perniagaan jualan pisang goreng pada 2004 selepas dia berhenti kerja dari sebuah kilang di Shah Alam.
Pada waktu itu, menurutnya, dia yang sudah mendirikan rumah tangga memiliki dua orang anak yang masih kecil.
"Masa itu ekonomi tengah merosot. Dalam poket duit pun tinggal RM50. Jadi daripada situlah saya mula berniaga sikit-sikit sampai sekarang dah hampir 20 tahun," ujarnya.
Dalam pada itu, Khairul berkata, dengan usia yang semakin meningkat, dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membuka cawangan baharu.
Bagaimanapun, dia memaklumkan kini mempunyai produk resipi tepung pisang goreng yang mahu dikongsikan kepada mana-mana peniaga yang mahu menggunakannya.
Ujarnya, resipi itu terhasil selepas lebih tiga tahun dia bereksperimen dan dibantu dengan dua dekad pengalaman sebagai penjual pisang goreng.
Pada waktu ini, beliau berkata, dia menghasilkan kira-kira 100 pek tepung goreng setiap minggu dan diberikan terhadap sekitar 20 peniaga di sekitar Lembah Klang.
"Harapnya dengan resipi tepung ini dapatlah bantu peniaga yang mahu buat pendapatan menerusi jualan goreng pisang di samping membantu anak-anak meneruskan legasi perniagaan ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram