INDUSTRI permainan video di Malaysia menunjukkan perkembangan cukup pesat sejak dekad terakhir ini.
Kemajuan tersebut bukan hanya boleh dilihat daripada aspek pengguna atau pemain video, malah turut tercermin menerusi tumbuhnya pelbagai syarikat permainan video tempatan.
Dengan peningkatan permintaan terhadap permainan yang berkualiti dan inovatif, antara pekerjaan semakin mendapat tempat dan perhatian adalah pereka bunyi yang memiliki peranan cukup penting dalam mencipta pengalaman permainan yang terbaik.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Pereka bunyi bertanggungjawab untuk mencipta muzik, kesan bunyi, dan pengubahsuaian suara yang menyokong naratif dan suasana permainan.
Dalam konteks permainan video yang semakin kompleks, pereka bunyi juga perlu memahami teknik penghasilan bunyi dan alat digital untuk mencipta pengalaman audio yang menakjubkan.
Di Malaysian, antara pereka bunyi yang sedang meningkat naik adalah Duncan Soo yang ketika ini berkhidmat bersama syarikat pembangunan permainan mandiri tempatan, Cellar Vault Games.
Berasal dari Petaling Jaya, Soo yang berusia 30 tahun berkata, penglibatannya ke dalam industri terbabit terjadi selepas dia bertemu dengan seorang pengasas pembangunan permainan video dalam satu acara tahunan di Kuala Lumpur sebelum pandemik.
Soo membuat keputusan kembali ke Malaysia selepas tamat pengajian kerana mahu berada lebih dekat dengan keluarga di samping turut membantu industri pembangunan permainan tempatan bersama-sama rakyat Malaysia.
"Saya bertemu Eshan Jayatilaka, salah seorang pengasas Cellar Vault Games, di Level Up KL (platform tahunan untuk pemain dalam industri berinteraksi, belajar dan berkongsi pengetahuan) sebelum pandemik.
"Pada masa itu, mereka masih membangunkan permainan versi Third Eye Open (TEO) dalam bentuk yang lebih pendek, dan saya memberitahunya bahawa saya sangat suka ke mana arah permainan itu berjalan. Ia mengambil latar di Malaysia semasa Hungry Ghost Festival.
"Kami tidak mendapat banyak cerita tempatan dalam permainan, jadi saya memberitahu mereka ketika itu bahawa jika mereka membuat sebarang sekuel atau permainan lain berasaskan cerita tempatan, saya terbuka untuk bekerjasama. Tidak lama kemudian, saya dipanggil," katanya.
Sebelum itu, Soo yang juga merupakan pemegang ijazah undang-undang dari Universiti Cardiff turut menerima pendedahan semasa beliau melanjutkan ijazah penerbitan muzik dari Universiti Full Sail (Florida, Amerika Syarikat).
“Saya diperkenalkan dengan editorial dan reka bentuk bunyi, serta rakaman lain seperti dialog, SFX dan suasana. Ia adalah sesuatu yang saya belum terokai lagi, dan saya mendapati ia menarik.
"Malah, saya mendapati ia merupakan satu proses terapeutik kerana terdapat aturan kerja yang jelas daripada mencipta muzik dari awal dan kemudian menerima maklum balas pelanggan untuk kelulusan mereka,” ujarnya.
Pada waktu ini, Soo berkata, tugasan hariannya sepanjang minggu adalah merakam, menyunting, mereka bentuk dan melaksanakan kesan bunyi dan muzik ke dalam permainan.
"Tetapi saya juga membuat reka bentuk bunyi untuk filem pada hujung minggu. Ini merangkumi editorial dialog, muzik latar dan kesan bunyi. Saya juga ditugaskan untuk mengadunkan semua elemen bunyi bersama-sama dan menyediakan adunan atau mixing akhir
"Tetapi ini melibatkan filem bajet rendah atau filem pendek," katanya.
Sebelum ini, Soo membuat keputusan kembali ke Malaysia selepas tamat pengajian kerana mahu berada lebih dekat dengan keluarga di samping turut membantu industri pembangunan permainan tempatan bersama-sama rakyat Malaysia.
"Saya tidak mahu berasa terasing apabila saya pulang ke tanah air. Ia akan berasa sangat sunyi untuk melakukan sesuatu di luar negara dan kemudian membawanya pulang. Mengapa tidak pulang sahaja dan maju bersama?” soalnya.
Walaupun industri pembangun permainan masih agak baharu di Malaysia, Soo berkata, ia memiliki prospek yang baik.
“Kami mempunyai studio seperti Passion Republic dan Lemon Sky Studios yang telah menggarap tajuk permainan AAA dan filem pecah panggung.
"Kami juga mempunyai permainan video terbitan tempatan seperti Rhythm Doctor by 7th Beat Games, Metronomik's No Straight Roads dan Passion Republic's Gigabash," ujarnya.
Soo (dua dari kiri) turut melakukan kerja audio bagi filem pendek.
Bagaimanapun, untuk pekerjaan menerbitkan audio permainan, Soo mengakui tidak banyak peluang yang wujud untuk komposer muzik atau pereka bunyi.
"Mungkin ada iklan di Facebook sekali-sekala mencari khidmat berkenaan, tetapi ia lebih seperti memberitahu komuniti pembangun permainan bahawa mereka menyediakan khidmat menerbitkan audio permainan.
“Sebagai contoh, studio permainan yang saya ada sekarang tidak memerlukan pekerja audio pada masa saya menghubungi mereka, tetapi saya mengekalkan hubungan itu dan apabila mereka memerlukan saya, saya bersedia untuk bekerja.
"Jadi saya akan katakan ada peluang, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan," ujarnya.
Dalam pada itu, salah satu kegusaran Soo pada waktu ini adalah kekurangan keseimbangan kehidupan kerja atau 'work life balance' dalam industri.
“Saya sedih melihat rakan-rakan kru saya bekerja 12 jam sehari. Saya juga berasa perlu untuk memperjuangkan gaji lebih baik untuk industri seni.
"Walaupun saya benar-benar menikmati kerja saya, saya tidak tahu sama ada saya boleh komited dengan kerjaya ini sehingga bersara jika keadaan ini kekal sama," ujarnya. — The Star/ANN MARIE CHANDY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
tamat