Bermula dari dapur rumah dengan resipi buku masakan nenek, Gula Cakery kini raih jualan cecah RM20 juta


  • Bizz
  • Ahad, 03 Nov 2024

Nor Arieni (dua dari kanan) mula membuka kedai bakeri pertamanya di Kota Kemuning pada 2015.

SIAPA sangka, perniagaan yang bermula dari dapur rumah kini boleh mencecah nilai jutaan ringgit dan mewujudkan lebih 15 kafe dan restoran di seluruh negara.

Itulah kejayaan manis dicapai oleh kedai bakeri terkenal tempatan, Gula Cakery yang diasaskan Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal pada 2015.

Gula Cakery terlahir daripada kecintaan Nor Arieni terhadap pembuatan kek di samping keinginannya untuk menyatukan orang ramai melalui makanan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Sebagai seorang tukang pembuat kek sejak muda, Arieni pada awalnya bereksperimen di dapur menggunakan resipi buku masakan neneknya.

Selepas mengasah kemahirannya melalui pelbagai kursus masakan, dia memulakan perniagaan di rumah dengan menjual hasil keknya kepada rakan dan keluarga.

Tidak lama kemudian, Nor Arieni turut menyertai jualan di bazar tempatan di samping turut menganjurkan kelas pembuatan kek.

"Dengan sokongan ibu saya yang tidak berbelah bahagi, terutamanya semasa saya mengendalikan kelas dari rumah, saya menyedari bahawa saya ingin mewujudkan tempat di mana orang ramai boleh merasai keenakan kek yang dibuat sendiri dan hidangan berkhasiat," katanya.

Dipacu dengan visi tersebut, beliau kemudiannya membuka kedai Gula Cakery pertama di Kota Kemuning pada 2015.

Pembukaan kedai bakeri pertamanya itu dibiayai daripada simpanan peribadi dan pinjaman awal daripada keluarganya.

“Pada waktu itu, saya masih tiada pembekal atau sistem operasi yang tersedia. Kami benar-benar membina segala-galanya dari bawah.

“Saya berada di dapur menguli, mencari bahan dan menguruskan pesanan dengan sokongan keluarga saya. Kadang-kadang ia cukup kelam kabut, tetapi ia kemudiannya membuahkan hasil," katanya.

Menurut Nor Arieni, turut memberikan dorongannya untuk meneruskan perniagaan itu tidak lain dan bukan adalah tindak balas positif daripada pelanggan.

Gula Cakery kini berkembang melalui beberapa cawangannya dengan konsep hidangan yang pelbagai seperti Gula Creamery, Malaiqa by Gula Cakery, El Ocho, Roti Jala, dan MN Coffee.

Processed with VSCO with al3 preset

Gula Cakery kini memiliki 15 cawangan kedai dan restoran.

Sejak 2023, kumpulan itu telah meraih jualan mencecah RM20 juta di seluruh cawangannya.

Bagi Nor Arieni, sejak awal, dia mempunyai visi untuk mewujudkan satu buku masakan bagi memaparkan identiti dan nilai dimiliki Gula Cakery.

"Saya menggunakan pendekatan secara terus, bermula dari pasukan kecil yang berdedikasi kerana saya sangat percaya bahawa setiap perincian daripada proses menaikkan bahan hingga kepada perkhidmatan terhadap pelanggan adalah penting," ujarnya.

Di sebalik perkembangan pantas syarikatnya, Nor Arieni terus mengawasi secara dekat pengenalan setiap resipi diperkenalkan kekal membawa semangat yang cuba dibawa jenamanya.

"Kawalan kreatif ini membolehkan saya terus mengekalkan standard tinggi kami amalkan di Gula Cakery sambil secara konsisten memperkenalkan perisa baharu dan menarik merentas keseluruhan pelbagai jenama diperkenalkan kami," jelasnya.

Satu lagi aspek utama pertumbuhan perniagaan adalah dengan memahami dan menyesuaikan diri terhadap keperluan dan pilihan pelanggan.

"Citarasa individu mungkin berbeza-beza, tetapi matlamat kami sentiasa untuk mencipta tawaran yang selari dengan pelanggan kami.

"Kami secara aktif mendengar maklum balas daripada pelanggan kami dan menggunakan pandangan mereka untuk memperhalusi produk kami dan memastikan bukan sahaja memenuhi kehendak mereka tetapi melebihi jangkaan.

Selain memperkenalkan perisa baharu, menu bermusim dan item edisi terhad secara konsisten, Gula Cakery bekerjasama dengan jenama dan tukang masak tempatan bagi membawakan perspektif baharu dan tawaran unik kepada pelanggannya.

"Pengguna hari ini mempunyai cita rasa yang meluas untuk meneroka rasa dan konsep baharu.

“Terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk pelbagai menu yang menggabungkan elemen tempatan dan antarabangsa, di samping minat mendalam terhadap produk makanan yang menjadi trend,” ujarnya.

Bagi memenuhi selera yang sentiasa berubah, Gula Cakery turut mengambil pendekatan yang fleksibel terhadap menunya, menerima perubahan dan inovasi sambil memastikan ia kekal dengan visi yang dibawa.

Nor Arieni turut mengakui mengenai impak yang platform media sosial seperti TikTok dan Instagram dalam membentuk tingkah laku pengguna.

"Orang ramai kini didorong secara visual, mencari pengalaman menikmati hidangan yang lazat dan 'Instagrammable'.

"Ini telah mendorong kami untuk memberi tumpuan bukan sahaja pada rasa tetapi juga pada daya tarikan visual dan penceritaan dalam setiap produk yang kami cipta," katanya.

Pada masa yang sama, Gula Cakery juga berusaha untuk mengekalkan kualiti, konsistensi dan kecekapannya dengan melaksanakan automasi dalam proses pengeluarannya.

Gula Cakery kini berkembang melalui beberapa cawangannya dengan konsep hidangan yang pelbagai seperti Gula Creamery, Malaiqa by Gula Cakery, El Ocho, Roti Jala, dan MN Coffee.

Sementara itu, Nor Arieni berkongsi bahawa pihaknya akan membuka satu lagi cawangan di Sunway Pyramid pada akhir tahun ini, dengan lima lagi berada dalam perancangan untuk diperkenalkan pada 2025.

Kumpulan itu juga merancang untuk membuka dapur pusat bagi meningkatkan kapasiti dan menyokong pengembangannya.

Dengan peningkatan kehadirannya di seluruh negara, Nor Arieni mengakui dia perlu berdepan dengan cabaran bagi menangani skala operasi yang semakin membesar tanpa mengorbankan sentuhan peribadi yang menjadi teras kepada identitinya.

"Merekrut dan melatih bakat yang betul untuk menegakkan nilai jenama kami adalah penting untuk kejayaan berterusan kami.

"Selain itu, mengurus logistik dan rantaian bekalan semasa kami berkembang akan memerlukan perancangan teliti untuk memastikan operasi lancar dan meminimumkan gangguan, terutamanya di kawasan yang kami belum terokai," ujarnya.

Namun begitu, Nor Arieni yakin bahawa dengan mengutamakan strategi operasi yang mantap, pembangunan pekerja dan penglibatan pelanggan, perniagaannya akan berjaya mengharungi proses tersebut.

"Setiap cawangan baharu mewakili peluang untuk menjangkau khalayak yang lebih luas, berkongsi cerita kami dan mencipta ruang yang mengalu-alukan di mana pelanggan boleh menikmati tawaran istimewa kami," katanya. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram