[VIDEO] Jalan basah, licin punca trak ATM bawa kenderaan perisai terbalik di Karak — Polis


  • 112
  • Khamis, 14 Nov 2024

Sebuah treler milik ATM dilaporkan terbabas hingga mengakibatkan kemalangan kesesakan teruk di Kilometer (KM) 35.2 arah Barat dari Genting Sempah ke Gombak pada 7 november lalu.

SIASATAN awal polis mendapati kemalangan sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kilometer (KM) 35.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, pada 7 November lalu, akibat jalan licin dan basah.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati pemandu kenderaan itu dari Kem Batu 5, Mentakab, Pahang ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

BACA LAGI: [VIDEO] Kenderaan pengangkut kereta perisai ATM terbalik gara-gara elak treler tiba-tiba ubah laluan

BACA LAGI: [VIDEO] Treler ATM bawa muatan 2 kereta kebal tergelincir, trafik di Lebuhraya KL-Karak sesak

"Kenderaan itu telah terbabas melanggar besi pengadang jalan di sebelah kanan dan terjatuh ke arah laluan bertentangan di KM 35.3 Kuala Lumpur menghala ke Bentong akibat jalan licin dan basah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Noor Ariffin lagi, pihaknya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat berkaitan kes tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan melangkaui siasatan polis berhubung mana-mana kes yang masih dalam proses siasatan," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, kenderaan membawa muatan dua kereta perisai jenis A (KJA) ADNAN terbalik akibat kemalangan itu.

Katanya, ketika kejadian pada pukul 4.48 petang, kenderaan berkenaan dalam perjalanan ke Gemas untuk tujuan latihan.

"Melalui laporan awal diterima, kemalangan disebabkan KPKP cuba untuk mengelak sebuah treler awam yang menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba.

"Disebabkan keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan, KPKP hilang kawalan dan seterusnya terbabas ke jalan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram