SEBUAH kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama muatan dua kenderaan jenis A (KJA) ADNAN terlibat dalam nahas di Kilometer (KM)35.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, petang Khamis.
TDM dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 4.45 petang ketika enam KPKP berkonvoi membawa 12 KJA dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT).
Menurutnya, enam KPKP itu adalah milik 4 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (4 KPD Mek), manakala 12 KJA ADNAN milik pasukan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (7 RRD Mek).
BACA LAGI: [VIDEO] Treler ATM bawa muatan 2 kereta kebal tergelincir, trafik di Lebuhraya KL-Karak sesak
"Melalui laporan awal diterima, kemalangan disebabkan KPKP cuba untuk mengelak sebuah treler awam yang menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba.
"Disebabkan keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan, KPKP hilang kawalan dan seterusnya terbabas ke jalan bertentangan," katanya.
Jelas kenyataan itu, kerosakan melibatkan keseluruhan bahagian prime mover KPKP manakala tiada kerosakan pada KJA.
"Pemandu KPKP pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kenderaan lain yang berada dalam konvoi meneruskan perjalanan ke Kem Perdana Sungai Besi," ujarnya.
Tambahnya, TDM sudah menggerakkan sebuah kenderaan Kembalik dari pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD Mek) dari Kem Batu 10, Kuantan dan sebuah KPKP dari Kem Perdana Sungai Besi ke lokasi kemalangan.
TDM memaklumkan bahawa pihaknya juga akan menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berlaku.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi hantaran di Facebook pada Khamis memaklumkan tentang kemalangan di KM35.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari arah Genting Sempah ke Gombak.
"Maklumat kesesakan di Lebuhraya KL Karak. Maklumat awal kemalangan di KM 35.2 arah Barat dari Genting Sempah ke Gombak. Lorong kanan arah Barat dan lorong kanan arah timur terhalang (crossbound). Trafik perlahan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram